JOHOR BAHRU – Seorang jururawat muda yang bekerja di Singapura mengalami kerugian RM40,000 apabila menjadi mangsa love scam selepas mengenali seorang lelaki secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang berusia 24 tahun dan tinggal di daerah ini dan bekerja di Singapura mendakwa kejadian bermula pada 22 Februari lalu.
“Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga China menerusi laman sosial yang dipercayai menggunakan identiti palsu.
“Selepas tujuh hari berkenalan, lelaki terbabit mengajak mangsa bertemu di Bandaraya Johor Bahru kelmarin, namun meminta wang kononnya sebagai ‘jaminan’ untuk keluar dari tempat kerja.
“Mangsa yang termakan dengan pujuk rayu lelaki itu kemudian telah melakukan 11 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza pada kelmarin dengan jumlah keseluruhan RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, transaksi tersebut yang dilakukan kelmarin dibuat dalam satu aplikasi dan dua akaun bank tempatan iaitu RM4,889.25, RM5,200 dan $S10,700.
Namun katanya, selepas mangsa membuat pembayaran, lelaki tersebut terus mendesak untuk memasukkan wang tambahan.
Mangsa kemudian katanya, menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.
Jelasnya, semakan mendapati ketiga-tiga akaun tersebut tidak mempunyai sebarang rekod penipuan lagi.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan kenalan dalam media sosial.
Raub menyarankan supaya melakukan semakan dahulu kesahihan iklan pinjaman melalui portal Semak Mule CCID atau rujuk dengan pihak berkuasa.- MalaysiaGazette















