Lori yang disyaki terlibat dalam penyeludupan diesel subsidi ke setor haram dari stesen minyak di Rawang berjaya ditangkap semasa serbuan KPDNHEP Selangor pada 1 November lalu. Ihsan foto KPDNHEP Selangor.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor berjaya menumpaskan satu aktiviti penyelewengan diesel dalam satu operasi hendap di Rawang, baru-baru ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, operasi hendap di sebuah stesen minyak dibuat selepas menerima aduan awam berhubung pergerakan ulang-alik sebuah lori tangki.

“Tindakan serbuan hendap oleh pasukan operasi dilakukan pada jam 9 malam semasa aktiviti pengisian minyak diesel sedang dilakukan oleh pemandu lori di sebuah stesen minyak di Rawang.

“Siasatan awal mendedahkan modus operandi aktiviti ini adalah membuat pengisian di stesen minyak secara berulang antara enam hingga 10 kali sehari untuk dihantar ke stor berhampiran.

“Berdasarkan situasi ini, dipercayai terdapat aktiviti urus niaga jual beli di antara stesen minyak yang berdekatan dengan stor tersebut,” katanya dalam kenyataan berhubung  kejayaan tersebut hari ini.

Lori yang disyaki terlibat dalam penyeludupan diesel subsidi ke setor haram dari stesen minyak di Rawang berjaya ditangkap semasa serbuan KPDNHEP Selangor pada 1 November lalu. Ihsan foto KPDNHEP Selangor.

Tambah beliau, susulan daripada serbuan itu, pasukannya telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap stesen minyak terbabit.

Menurutnya, KPDNHEP telah mengeluarkan suatu Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan kepada stesen minyak berkenaan.

“Bertindak lanjut, pasukan serbuan berjaya menahan dua orang lelaki yang dipercayai terlibat sebagai pemandu lori tangki yang membawa diesel seludup itu ke stor haram berkenaan.

“Kesemua suspek itu telah ditahan untuk rakaman percakapan bagi keperluan siasatan dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis, sementara rakaman percakapan daripada pengurus stesen minyak terbabit juga telah diambil bagi keperluan siasatan lanjut.

“Dalam serbuan sama, penguat kuasa telah membuat sitaan melibatkan dua buah lori, dokumen berkaitan dengan siasatan dan minyak diesel di dalam tangki lori yang disita (berdasarkan arahan pengistiharan stok di bawah seksyen 8, AKB 1961 oleh syarikat stesen minyak yang membuat deklarasi) adalah sejumlah 830.3 liter yang dianggarkan bernilai keseluruhannya sebanyak RM300,000,” ujar beliau.

Siasatan akan diteruskan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter seperti yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan.

Jelasnya, jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta ini.

“KPDNHEP Selangor ingin memberi amaran bahawa kami akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDNHEP, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi yang merupakan antara salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” ujarnya. – MalaysiaGazette