Yee Fung bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan BN Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bayan Baru, Saw Yee Fung mengajak penyandang kerusi itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdebat secara terbuka.

Calon daripada parti MCA itu menjemput Sim Tze Tzin untuk berdebat mengenai naratif pembangunan dan ekonomi kawasan berkenaan kerana beliau adalah penyandang kerusi Parlimen Bayan Baru selama dua penggal.

Sehubungan itu katanya, Tze Tzin perlu bertanggungjawab untuk menjawab segala persoalan membabitkan kawasan Bayan Baru.

Wanita bertugas sebagai aktuari profesional di sebuah syarikat antarabangsa itu turut menegaskan keputusan untuk berdebat dibuat bagi memberi ruang serta peluang kepada rakyat menilai calon yang akan dipilih mewakili suara mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Selain itu, debat juga dilihat sebagai satu platform untuk kita (ahli politik) bersaing secara sihat berdasarkan fakta bukan emosi atau saling mengutuk sesama sendiri.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, objektif saya adalah untuk membawa Bayan Baru ke arah yang lebih baik, jadi biar perdebatan ini membuka ruang untuk pengundi menilainya.

“Saya harap YB (Yang Berhormat) Sim akan terima jemputan perdebatan ini memandangkan beliau adalah senior (orang lama) serta penyandang kerusi ini sejak dua penggal lalu,”katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN Bayan Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Yee Fung berkata, satu surat jemputan rasmi berhubung perdebatan itu akan dihantar kepada Tze Tzin dalam tempoh dua hari lagi.

“Saya akan melancarkan manifesto dalam tempoh 48 jam jadi nanti masing-masing boleh berdebat mengenainya kerana itu yang akan dilakukan demi penduduk di sini.

“Antara perkara yang akan diketengahkan oleh saya termasuk isu banjir, kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, peluang pekerjaan serta beberapa lagi yang disuarakan pengundi ketika saya santuni mereka,” katanya.

Tambah Yee Fung, pengundi juga boleh hadir untuk mengemukakan soalan kepada kedua-dua calon demi masa depan Bayan Baru.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pihak media juga dialu-alukan untuk menjadi moderator untuk perdebatan itu yang mana masa dan lokasi akan ditentukan selepas kedua-dua pihak melakukan rundingan,” katanya. – MalaysiaGazette