Datuk Seri Anwar Ibrahim

BATU PAHAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Datuk Mohd Rashid Hasnon pernah menangis dan merayu kepadanya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika beliau berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketika menyampaikan ceramah umum sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pengerusi PH itu berkata, Mohd Rashid yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, sebagai seorang individu yang tidak berguna kerana telah melakukan khianat kepada parti dan pengundinya.

“Sokong Rashid dan dia khianat lompat katak, tak guna…apa punya manuisa. Dia nak jawatan merayu, menangis-menangis minta bagi jawatan timbalan speakar, tak puas hati pakat khianat,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong yang hadir pada ceramah tersebut.

Anwar yang juga Presiden PKR mendakwa, sebagai seorang insan Mohd Rashid sepatutnya mempunyai maruah dan tidak khianat kepada pengundi-pengundi di Batu Pahat yang telah memberikan mandat kepadanya atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, dia perlu memiliki integriti dan harus mengambil contoh seperti pemikir Melayu ulung, pendeta Zaaba yang miskin tetapi, memiliki integriti yang tinggi.

“Apa kata dia, kita biar miskin harta tapi, bukan miskin budi pekerti, bukan miskin maruah.

“Ini harta banyak tapi miskin perangai, miskin akhlak, jadi pengkhianat kepada rakyat yang undi anda. Jadi apa tugas kita 19 haribulan…tendang dia ke laut (Mohd Rashid),” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga calon bagi kerusi Parlimen Tambun berkata, sekiranya beliau menjadi perdana menteri ketika krisis peralihan kerajaan sebelum ini, Mohd Rashid tidak mungkin diberikan peluang untuk menjawat sebarang jawatan dalam Kabinet ekoran sikapnya itu.

Beliau kemudiannya meminta hadirin supaya mengambil pengajaran di atas apa yang telah dilakukan oleh Mohd Rashid dan menjadikannya sebagai satu sejarah yang tidak perlu berulang.

Pada 2018 Mohd Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,894 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Bagaimanapun, beliau kemudian keluar parti ketika ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Bersatu.

Pada 2020, Mohd Rashid dilantik sebagai Timbalan Speaker, Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas beliau meninggalkan PKR sebelum menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette