Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Walaupun memilih untuk memperagakan rekod kukuh dan prestasi, Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya membiarkan para pengundi terus dimanipulasi pihak lawan yang menggunakan agenda politik sentimen.

Ini kerana isu-isu lama membabitkan para pemimpin BN yang diular siar mungkin akan menjadi senjata ampuh pihak lawan dalam memusnahkan parti itu.

Dr. Jamaie Hamil

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jamaie Hamil berpendapat, isu-isu lama seperti rasuah, penyelewengan dan kes mahkamah mungkin dianggap sudah basi dan tidak relevan tetapi masih ada kekuatannya.

“Isu-isu lama yang diputar semula itu tetap mempunyai pengaruh.

“Selain itu, parti lawan turut menggali isu-isu baharu yang mana apabila digabungkan dan digilap, maka ia akan menyerlahkan lagi kelemahan BN di mata para pengundi.

“Tambahan pula, proses pemilihan calon BN sendiri sudah tidak lancar sehingga mencetuskan protes dalaman dan peluang ini telah direbut oleh parti lawan untuk melemahkan lagi BN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu akan terus kekal dengan agenda politik sederhana yang menawarkan prestasi, rekod kukuh, kestabilan dan terus membina kemakmuran.

Beliau juga meminta rakyat menolak golongan yang hanya membawa agenda politik fitnah tanpa bukti dan hanya bermain sentimen berbanding politik khidmat yang sebenar.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan pencabar-pencabar BN yang lebih suka menyerang personaliti berbanding menawarkan pelan hala tuju kepada rakyat, Jamaie berpendapat, mereka mungkin lebih berhati-hati dalam manifesto kali ini.

“PH contohnya sudah belajar daripada kesilapan mereka dalam menawarkan manifesto pada PRU-14.

“Jadi pada kali ini saya berpendapat mereka akan lebih berhati-hati.

“Ada perkara yang boleh dilakukan, mereka akan lakukan. Jika tidak boleh, saya yakin mereka akan menangguhkannya,” katanya lagi.

Jamaie menambah, selepas pelancaran manifesto setiap parti, rakyat mungkin akan diberi penjelasan lanjut berhubung pelan hala tuju parti seandainya gabungan mereka berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.- MalaysiaGazette