MELAKA – Kerajaan negeri dicadang menyemak semula dasar pembangunan projek perumahan bagi meletakkan tanggungjawab penyelenggaraan banjir kepada pemaju.
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan diperjuangkan bagi mengatasi masalah banjir yang sudah menjadi ‘bencana tradisi’ di kawasan Alor Gajah sejak sekian lama.
“Saya akan beri cadangan yang bernas agar segala bentuk pembangunan yang menyebabkan banjir ini (akan) cuba kita tumpukan dahulu, masukkan cadangan bagaimana nak menangani isu limpahan air akibat banjir itu.
“Dan kos itu mesti dipertanggungjawabkan ke atas pemaju (perumahan) bukannya esok-esok penduduk pula dikenakan kenaikan cukai dan dibebankan lagi mereka sedangkan sejak bertahun-tahun dah banyak harta benda hilang akibat banjir,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2022/11/WhatsApp-Image-2022-11-08-at-12.41.38-PM.jpeg)
Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi di Pasar Awam Majlis Perbandaran Alor Gajah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu berkata, kerajaan perlu mencontohi beberapa negara maju yang meletakkan tugas penyelenggaraan banjir itu kepada pemaju.
“Di luar negara sekalipun, apabila projek itu dilaksanakan adalah tanggungjawab mereka memastikan penyelenggaraan mengelak berlakunya banjir.
“Kalau ada pemaju yang tak sanggup ikut dan patuh pada syarat ini, kita kena bertegas, jangan bagi mereka projek itu,” katanya. – MalaysiaGazette.