KUALA LUMPUR- Polis menahan seorang lelaki di Kulim, Kedah kerana membakar khemah pusat mengundi di Tapak Mahlus serta membuang bendera parti komponen Barisan Nasional.
Pengarah Komunikasi Operasi Pilihan Raya Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, lelaki berkenaan dikatakan membuang bendera tersebut ke dalam longkang.
“Lelaki terbabit direman bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran dan menimbulkan perasaan tidak senang dan melakukan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hazani berkata, seorang suspek ditahan di Langkawi kerana mengancam untuk menumbuk seorang lelaki yang dilantik sebagai Ketua Pusat Pengundian Daerah Pulau Tuba.
Polis turut memulakan siasatan di Kerian, Perak berhubung dakwaan ucapan berunsur fitnah dan berniat jahat oleh calon Perikatan Nasional, Razman Zakaria terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, pihak polis juga membuka kertas siasatan di Kemaman, Terengganu berhubung sepanduk yang menghina calon Barisan Nasional yang digantung di persimpangan Plaza Tol Chukai.- MalaysiaGazette