BN kawasan
'Pertembungan' antara Mohamad Hasan dan Jufitri JOha (baju kelabu) di Pasar Malam Chembong, Rembau hari ini.

REMBAU – Barisan Nasional (BN) perlu mempertingkatkan tumpuan dan perhatian di beberapa kawasan kelabu di seluruh negara agar matlamat mencapai majoriti yang kukuh dapat diperolehi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara keseluruhan, keadaan adalah terkawal dan beberapa ‘gegaran’ yang berlaku sebelum hari penamaan calon dapat ditangani oleh pasukan pengurusan krisis parti.

Menurut beliau, gegaran-gegaran tersebut kalau tidak diselesaikan akan menyebabkan kesan yang besar terhadap keputusan PRU15.

“Cuma saya minta diberi perhatian beberapa tempat perlu dipertingkatkan perhatian dan tumpuan kerana kami di sini dalam bilik gerakan ada kategorinya.

“Kita nak kategori kelabu putih masuk ke putih, yang kelabu hitam tu masuk ke kelabu putih,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Malam Chembong, di sini, hari ini.

Di pasar malam tersebut, Mohamad yang juga calon BN untuk kerusi Parlimen Rembau secara kebetulan ‘bertembung’ dengan pesaingnya dari Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha.

Timbalan Presiden UMNO itu menambah, BN melakukan pemantauan setiap hari dan beliau sentiasa menerima laporan daripada bilik gerakan di ibu pejabat parti di Menara Dato’ Onn serta taklimat daripada agensi-agensi tertentu.

Berhubung sikap pengundi, beliau berasa amat senang hati kerana mereka kini lebih menerima BN berbanding pada 2018.

“Pada 2018, kadang-kadang bila nampak kita pakai baju BN, beralih tak nak bertemu dengan kita.

“Tetapi sekarang ini alhamdulillah, sambutan mesra ada dan kita boleh nampak bahasa gerak-geri dan sambutan begini kita telah baca mulai dari Melaka ke Johor,” jelasnya.

Mohamad berpandangan, kempen PRU15 setakat ini berlangsung dalam suasana tenang dan perbahasan di kedai kopi tentang politik tidak sepanas seperti yang berlaku pada 2018. – MalaysiaGazette