KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 kertas telah dibentangkan dalam Pameran dan Persidangan Antarabangsa kali ke-50 (COCOTECH 2022) anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan International Coconut Community (ICC) yang berakhir esok.
Antaranya, kertas bertemakan “Climate Change Adaptation and Mitigation Strategy for a Resilient and Sustainable Coconut Agroindustry” anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan International Coconut Community (ICC).
Sebanyak 10 usul disenaraikan hasil dari pembentangan persidangan COCOTECH 2022 yang berlangsung selama empat hari, antaranya melaksanakan dasar-dasar dan program yang sesuai bagi mendepani daya tahan perubahan iklim, mengadaptasi strategi amalan agronomi yang berdaya tahan dengan sebarang perubahan iklim dan mengadaptasi strategi pembangunan genetik yang berdaya tahan dengan perubahan iklim.
Selain menjadi platform terbaik untuk bertukar idea dan amalan terbaik bagi lebih memahami isu dan cabaran yang dihadapi industri kelapa, persidangan antarabangsa ini turut memberi peluang kepada semua ahli dan anggota ICC serta pemain industri untuk bertemu dan menjalinkan jaringan kerjasama demi manfaat bersama.
COCOTECH 2022 telah mendapat sambutan di luar jangkaan dan turut dihadiri 400 orang peserta terdiri daripada delegasi negara-negara ahli dan bukan ahli di bawah ICC serta pakar-pakar tanaman kelapa dari seluruh dunia.
MAFI berkata, sepanjang persidangan ini negara anggota dan peserta Persidangan Antarabangsa COCOTECH 2022 mendapat pelbagai manfaat hasil perkongsian merentasi 20 negara anggota ICC dari seluruh dunia.
Untuk rekod, produktiviti tanaman kelapa di Malaysia menduduki tangga yang ke-7 di dunia selepas Vietnam, India dan Sri Lanka.
Industri kelapa merupakan antara tiga industri penting menyumbang kepada sosio-ekonomi Malaysia di mana dianggarkan seramai 65,340 keluarga tani terlibat dalam penanaman kelapa.
Tanaman kelapa merupakan komoditi utama di Malaysia selepas kelapa sawit, getah dan padi.
Pada tahun 2020, keluasan penanaman kelapa adalah 84,942 hektar dengan pengeluaran sebanyak 536 juta biji yang menyumbang kepada produktiviti 6,317 biji per hektar.
MAFI melalui Jabatan Pertanian memberi tumpuan kepada empat varieti kelapa berhasil tinggi iaitu kelapa hibrid MATAG dan kelapa rendah/dwarf seperti Malayan Yellow Dwarf (MYD), Malayan Red Dwarf (MRD) dan Kelapa Pandan bagi meningkatkan pengeluaran kelapa di Malaysia bagi memastikan pengeluaran kelapa meningkat walaupun kawasan penanaman kelapa terhad.
Kerajaan melalui MAFI sentiasa komited dalam mengukuhkan lagi kerjasama di peringkat antarabangsa bagi terus meningkatkan daya tahan industri kelapa. – MalaysiaGazette