Amirudin Shari.-Foto MUHD NA’IM, 10 NOVEMBER 2022.

GOMBAK – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berikirar akan memperuntukkan keseluruhan gajinya dalam Dana Komuniti Gombak untuk memantapkan  infrastruktur di kawasan tersebut.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu tawarannya dalam manifesto Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad untuk 5 Tahun yang diumumkan hari ini.

Tambah beliau, Dana Komuniti Gombak itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyediakan infrastruktur berkaitan kesihatan, sukan dan ekonomi yang lebih baik kepada penduduk setempat.

“Saya akan menyumbangkan keseluruhan gaji saya selaku Ahli Parlimen ke dalam dana ini. Insya-Allah kalau saya masih kekal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ada jawatan dalam kerajaan negeri serta tiada tanggungjawab di peringkat persekutuan dalam tabung ini.

“Saya juga menjemput pihak swasta ataupun mereka yang ingin menyumbang ke dalam tabung ini dan saya percaya tabung ini berguna untuk membangunkan infrastruktur serta komuniti selain peruntukan yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengumumkan manifesto Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad untuk 5 Tahun di Pusat Khidmat Rakyat, di sini, hari ini.

Menerusi deklarasi yang diumumkan, Amiruddin yang juga Pengerusi PH Selangor akan memberi perhatian kepada peningkatan sektor ekonomi tempatan, rumah mampu milik, peluang pendidikan serta pekerjaan.

Katanya, tawaran yang disenaraikan itu adalah hasil pertemuan dengan penduduk Gombak dan mendengar luahan isi hati mereka yang mengharapkan perubahan drastik pelbagai aspek.

“Pelbagai isu yang dibangkit akan dapat diselesaikan sekiranya perancangan yang ditawarkan dalam deklarasi yang diumumkan dapat dilaksana. Penempatan semula penduduk Gombak, penyediaan R&R yang lebih selesa untuk e-hailing antara yang dibentangkan.

“Malah, dari sudut ekonomi, kita menawarkan pembangunan usahawan muda dan wanita termasuk menggalakkan penguasaan pertanian. Dari aspek pendidikan pula, kita menawarkan bantuan kepada pelajar yang tercicir sewaktu pandemik,” ujarnya. MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jadi MB boleh bertanding Parlimen ke? Ahmad Idham tanya, kalau jadi MB sementara seperti PM sementara mingkin boleh lah kot. Haji dan elaun MB lagi besar dari Parlimen.

Comments are closed.