Rukun negara

ASASNYA, Rukun Negara boleh dikatakan sebagai ideologi dan falsafah kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 dan diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, setahun selepas berlakunya tragedi buruk 13 Mei 1969 yang telah menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

Usaha murni ini mempunyai matlamat yang jelas – iaitu untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang kuat dan bersatu, merealisasikan cita-cita Malaysia ke arah mempertingkatkan perpaduan, menjaga semangat demokrasi dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil serta progresif

Justeru, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, boleh dikatakan Rukun Negara sewajarnya menjadi panduan seluruh isi negara ini tidak kira bangsa, agama, ras dan warna kulit.

PRU-15 ini menyaksikan parti dan pembesar-pembesar politik berhempas-pulas menyusun tari, langkah dan berpencak dalam usaha menawan Putrajaya. Dalam baki beberapa hari lagi untuk berkempen, masing-masing membuat tawaran tentang perkara yang bakal dilakukan sekiranya menang dan berjaya membentuk kerajaan kelak.

Namun, sepanjang kempen yang berlangsung, sesuatu yang tidak sedap di dengar masih lagi berkumandang sebagai bahan kempen iaitu isu yang membawa konotasi negatif berhubung kaum dan agama.

Perlembagaan

Perkara yang ingin saya nyatakan secara ringkas ini bukanlah pertama kali dijelaskan, tetapi  telah dijelaskan berulang kali oleh ramai cendekiawan, sarjana dan pemerhati politik.

Ketika menjadi anak mahasiswa di UiTM dahulu, atas dasar kasih saya telah bertungkus-lumus menjelaskan isu ini secara konsisten. Malah, masih jelas dalam kotak fikiran bahawa saya pernah berulang-ulang kali menjelaskan isu yang sama ketika PRU-13 dahulu melalui sudut pidato di tempat-tempat awam sekitar Shah Alam anjuran gerakan Mahasiswa Sayang UiTM (MUSMA) suatu ketika dahulu.

Namun demikian, isu ini masih lagi dimainkan dan ketakutan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu, masih lagi berlaku. Menyedari hakikat tersebut, saya akan memperturunkan dan menjelaskan semula secara ringkas perkara ini sebagai panduan bagi melawan budaya takut rakyat dalam negara ini.

Saya melihat bahawa roh di dalam kelima-lima prinsip Rukun Negara adalah jelas selari dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai undang-undang tertinggi negara, dokumen yang penuh bersejarah ini jelas mengandungi nilai-nilai tradisi dan telah digubal berdasarkan perjalanan sejarah negara ini. Hal ini adalah termasuk – Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu (Perkara 38).

Sebagai perlindungan terhadap nilai-nilai tradisi ini, generasi terdahulu juga telah memasukkan suatu peruntukan di bawah Perkara 159 (5), iaitu seandainya nilai-nilai tradisi tersebut ingin dipinda, ia sama sekali tidak boleh dilakukan melainkan jika mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja. Dalam kata lain, ia perlu mendapat bukan sahaja persetuju 2/3 Parlimen, tetapi juga persetujuan penuh Majlis Raja-Raja.

Sebagai rakyat Malaysia, saya mengambil sikap yang jelas iaitu kita perlu menerima hakikat bahawa Melayu dan Bumiputera adalah majoriti dalam negara ini. Namun begitu, kita juga harus menerima realiti bahawa sebagai negara yang berbilang kaum, kita juga memerlukan dokongan dan perlu memelihara kepentingan kaum lain untuk membangunkan negara bangsa Malaysia ini.

Selain itu, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, saya juga mengambil sikap yang jelas serta tidak apologetik, bahawa nilai-nilai tradisi ini perlu dipertahankan atas semangat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, saya juga ingin menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan negara ini jelas tidak pernah mendiskriminasikan hak-hak sah kaum selain Melayu dan Bumiputera.

Dalam erti kata yang lain, keadilan, rasa hormat dan toleransi harus menjadi pedoman dalam melaksanakan nilai-nilai yang telah termaktub. Sebagai sebuah dokumen yang “hidup”, Perlembagaan Persekutuan jelas memelihara hak setiap isi rakyat dalam negara ini.

Modal politik

Malangnya, hal-hal yang jelas telah tertulis di dalam Perlembagaan ini telah dimainkan sebagai modal politik yang memualkan, sedangkan telah terang lagi bersuluh bahawa intipati Perlembagaan Persekutuan ada menyediakan panduan bagi menangani segala isu berhubung dengan nilai tradisi ini.

Kempen politik yang berbaur perkauman dan agama yang menyimpang ini bukan sahaja bakal memporak-perandakan negara bangsa ini, tetapi juga akan menyekat proses pembangunan bangsa dan tanah air yang kita cintai.

Dalam tempoh yang tinggal beberapa hari ini, negara sepatutnya ditampilkan dengan isu-isu berhubung dengan tatakelola yang baik, kos sara hidup yang meningkat, pendidikan, nasib golongan rentan, nasib golongan muda dan mahasiswa serta perubahan iklim.

Saya menyeru kepada semua calon dalam PRU-15 supaya menolak kempen berbaur perkauman dan agama dengan rasa insaf. Calon-calon wajib untuk balik semula ke pangkal jalan, dan memberikan apresiasi terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara. Rakyat juga tidak harus takut, dan perlu yakin dengan sistem serta intipati dalam perlembagaan yang telah mengemudi negara kita selama lebih enam dekad.

Akhirulkalam, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk PRU-15 ini. Memang menjadi harapan kita semua, rakyat seluruh Malaysia bahawa nasib negara ini perlu diperindahkan. Memetik A. Samad Ahmad, seniman dan penulis pernah menyebut bahawa:

“…percaya pada janji,

Kami percaya kepada diri,

Kami pemegang segala panji,

Kebenaran, keamanan, kemakmuran dan keadilan sejati!”

 

Khairul Naim Rafidi,
Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor