MELAKA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika BN menawan Putrajaya pada 19 November ini.
Pengerusi BN itu dalam nada tegas turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjadi api dalam sekam untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.
Menurutnya, apabila UMNO dan BN telah membuat keputusan, mereka akan terus komited meneruskan keputusan yang sudah dicapai itu.
“Kita akan terus komited menentukan bahawa Perdana Menteri kita adalah Perdana Menteri yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang ini.
“Jangan timbul spekulasi, jangan timbul ramalan, jangan cucuk mencucuk di kalangan kami, we have no problem at all,” katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meluahkan rasa curiga terhadap masa depan Ismail Sabri yang merupakan ‘poster boy’ BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, BN kini telah hampir sampai ke garisan kemenangan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya selepas PRU15.
“Rugilah jika mereka tidak pernah menyesal memilih Pakatan Harapan (PH), rugilah jika kali ini ada yang memilih Perikatan Nasional (PN) kerana kita ada track record selama 60 tahun memerintah.
“Saya rasa amat menghargai apabila kita teruji dengan ketidakcukupan kerusi dalam PRU14 yang lalu, maka rakyat telah menderita, rakyat telah sengsara apatah lagi apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan gagal selama 17 bulan.
“Jika ada yang berniat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) kali kedua seperti bos dia yang jadi PM kali kedua selepas 22 tahun, selepas itu 22 bulan, maka parti itu hanya bermimpi di siang hari,” katanya. – MalaysiaGazette.
Lepas lagakan PM dgn Presiden tapi tak berjaya, sekarang Muhyidin, Anwar dan Medey cuba lagakan plak presiden dengan KJ…kerja 3 ekor ni lagakan orang jaa