BERA – Penyokong Pakatan Harapan (PH) di Kemayan, di sini diseru agar tetap keluar mengundi pada 19 November ini meskipun tiada wakil calon parti itu bertanding di Dewan Undangan (DUN) tersebut.
PH tiada calon di Kemayan selepas pencalonan Manolan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bob ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Hari Penamaan Calon 5 November lalu.
Biarpun berdepan dengan situasi ini, calon PH Parlimen Bera, Abas Awang berkata, kempen-kempen perlu diteruskan untuk memenangkan parti itu di peringkat Parlimen Bera.
“Tentu hasrat kita nak menang. Memandangkan kita tiada wakil di Kemayan, kalau ada penyokong kita di Kemayan, janganlah beri apa-apa sokongan kepada pihak yang bertentangan dengan kita.
“Dari segi strategi, kalau penyokong kita, abaikan sahajalah (Kemayan). Kita pangkah dua-dua (BN dan PN),” tambahnya sambil berseloroh.
Namun, beliau tetap menyeru penyokong dan pengundi PH di DUN itu untuk keluar mengundi kerana mereka mempunyai tanggungjawab memenangkan PH di peringkat Parlimen.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika ditanya pemberita mengenai situasi di Kemayan.
Abas yang pertama kali bertanding di Parlimen Bera mewakili PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal merebut kerusi tersebut daripada penyandangnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut ditentang Asmawi Harun yang mewakili Perikatan Nasional (PN).- MalaysiaGazette