Ismail Abd Muttalib

MARAN – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menjangkakan tidak ada sebuah parti atau gabungan dominan boleh membentuk kerajaan secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Katanya, keyakinan Barisan Nasional (BN) yang secara bersendirian berdepan gabungan PN dan Pakatan Harapan (PH) mungkin menjerat diri sendiri.

“PRU kali ni sepatutnya yang menang ketika PRU14 dinamakan semula untuk bertanding supaya kita boleh tengok sama ada BN adalah parti dominan yang boleh menang.

“Kalau kita tengok, PH mempunyai kerusi yang banyak dalam Parlimen, 90. BN hanya 42, itu pun dah banyak yang keluar dan 10 ahli Parlimen dibuang (daripada bertanding),”katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Maran itu mengakui, pembentukan Keluarga Malaysia sebelum ini sudah sempurna, namun disebabkan kerakusan sesetengah pihak, maka PRU kali ini terpaksa diadakan.

Ismail Abdul Muttalib berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Besar, di sini.

Sebelum ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak dinamakan semula oleh BN sebagai calon di Parlimen Maran meski telah menyandang kerusi itu sejak empat penggal lalu.

Tekad untuk mempertahan kerusi disandangnya itu, beliau memilih untuk bertanding atas tiket PN pada PRU kali ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast