PORT DICKSON – Busuk, rosak, tiada air, kotor dan sangat menjijikkan. Semua itu menggambarkan keadaan di tandas awam Gerai Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di bandar ini.
Di dalam tandas dapat dilihat najis melimpah memenuhi lubang tandas selain tempat membuang air kecil penuh dan tersumbat manakala sampah-sarap bersepah.
Keadaan yang meloyakan itu disuarakan oleh peniaga dan orang ramai kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk P. Kamalanathan yang mengunjungi lokasi berkenaan hari ini.
Beliau berkata, memang banyak masalah berkaitan kemudahan awam yang diutarakan rakyat sepanjang program ramah mesra sejak kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula Sabtu lalu.
“Contoh di pasar, kemudahan awam memang terabai yang maklumkan kepada saya ialah peniaga-peniaga di pasar.
“Bila saya jalan-jalan tadi, makcik ni pun mengadu kerana kebanyakan keperluan asas tidak dibaiki semula dan sebagainya, itu saya nampak masalah,” katanya dalam sidang media di Gerai MPPD di sini, hari ini.
Ketika ditanya situasi itu bermakna sama ada kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) gagal menyelesaikan masalah tersebut, Kamalanathan menyatakan, ia sudah terang lagi bersuluh.
“Saya rasa you pun tahu jawapannya,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC itu.
Berhubung Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, beliau berkata, “Baguslah dia bertanding, itu sahaja saya nak cakap.”
Kamalanathan menambah, beliau tidak berasa tekanan walaupun berdepan saingan daripada Aminuddin yang juga calon PH serta Rafiei Mustapha dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Beliau berasa amat bersyukur kerana pengundi-pengundi yang ditemuinya setakat ini memberi semangat kepadanya dalam pertembungan lima penjuru itu.
“Setiap hari pada sebelah pagi tak pernah satu tempat yang saya masuk tanpa sokongan,” jelasnya.
Mengenai peluangnya untuk bergelar Ahli Parlimen Port Dickson, Kamalanathan berkata, sebagai manusia beliau hanya mampu merancang dan soal kemenangan ditentukan oleh takdir tuhan. – MalaysiaGazette