REMBAU – Kemakmuran ekonomi yang dikecapi semasa Barisan Nasional (BN) memerintah negara dahulu akan mendorong majoriti pengundi Cina untuk menyokong gabungan politik berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyuarakan keyakinan itu berkata, kaum Cina khususnya komuniti perniagaan menggunakan kewarasan untuk memilih parti yang boleh membawa kemakmuran ekonomi kepada mereka dan negara.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu memberitahu, pada PRU-14 mereka tertarik dengan pelbagai janji yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH).
Namun, katanya, situasi kini berubah kerana perniagaan kaum Cina terjejas selepas PRU-14.
“Saya tak kata dia serik dengan PH tetapi mereka tak dapat apa-apa yang mereka harapkan dari PH.
“Mereka pandai buat keputusan. Bagi mereka, siapakah yang dapat memberi pulangan ekonomi dan boleh mensejahterakan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita pada program ramah mesra bersama orang ramai di pekan Kota di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr. Awaludin Said.
Mohamad menambah, kaum Cina dapat menyaksikan sendiri ekonomi negara diurus dengan baik ketika di bawah pentadbiran BN dahulu walaupun dunia berdepan dengan krisis kewangan.
Beliau memberi contoh, ketika krisis subprima berlaku di Amerika Syarikat pada 2008 dan 2009, Malaysia tidak menerima kesan besar kerana negara ini mempunyai sistem kewangan yang baik.
“Mereka ini pengundi ekonomi dan faktor ekonomi itu yang mendorong mereka memilih ke arah mana .
“Kita dapat lihat semasa BN, ekonomi negara tumbuh dengan baik walaupun ada beberapa perkara berlaku dan mereka bersama-sama dapat menyertai kegiatan ekonomi dan membina kehidupan masing-masing,” jelasnya.
Secara keseluruhan, Mohamad yang juga Presiden UMNO percaya pengundi Cina di seluruh negara lebih-lebih lagi mereka yang tidak menganggotai mana-mana parti politik kini lebih terbuka untuk menerima BN pada PRU-15.
“Insya-Allah saya harap supaya sikap mesra BN ini diteruskan dan diterjemahkan pada 19 November ini,” katanya. – MalaysiaGazette