Calon bebas Parlimen Sungai Buloh, Nurhaslinda Basri, 33. (berbaju ungu) ketika ditemubual MG.

SUNGAI BULOH – Melihat kesusahan rakyat Sungai Buloh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada yang sanggup datang ke rumahnya demi sebungkus mi segera membangkitkan semangat calon bebas Parlimen itu untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

Satu-satunya calon wanita yang bakal bertarung di P.107 Sungai Buloh, Nurhaslinda Basri, berkata, beliau tidak mahu melihat ada penduduk susah di kawasan itu.

“Saya bertanding kerana saya lihat tiada wakil rakyat yang bertanggung jawab di kawasan ini.

“Apa gunanya ada Ahli Parlimen kalau rakyat masih datang rumah saya untuk meminta sebungkus mi segera?

“Walaupun dalam keadaan sekatan (akibat PKP), wakil rakyat yang bertanggung jawab sepatutnya tahu rumah mana yang tiada wang dan tiada makanan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Wanita berusia 33 tahun itu menegaskan, Ahli Parlimen seharusnya berusaha keras memastikan tidak ada penduduk di kawasannya yang kebuluran.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang R. Sivarasa daripada Pakatan Harapan selama tiga penggal.

Sebagai anak jati Sungai Buloh, Nurhaslinda berkata beliau menyaksikan sendiri penduduk di kawasan itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya khususnya daripada aspek kebajikan.

Sehubungan itu beliau nekad mengeluarkan wang poket sendiri untuk membayar deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) demi menjadi calon pada kali ini.

“Manifesto saya mudah sahaja, lebih kepada saya nak selesaikan masalah kebajikan penduduk Sungai Buloh daripada semua aspek,” katanya lagi.

Pengamatan MalaysiaGazette mendapati Nurhaslinda tidak kelihatan turun padang bertemu pengundi walaupun sudah seminggu tempoh kempen bermula.

Rupa-rupanya, beliau berkempen sepenuhnya secara dalam talian.

Nurhaslinda yang dikenali sebagai Sifu Linda mengakui tidak mempunyai jentera untuk menggerakkan kempen beliau.

Bagaimanapun, wanita berkenaan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman sebagai guru keusahawanan untuk mempromosikan diri kepada pengundi di Sungai Buloh.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggunakan 10,000 kumpulan WhatsApp keusahawanan sebagai platform berkempen.

“Memang saya tidak ada seorang pun jentera untuk berkempen.

“Malah meminta ibu saya untuk menjadi pencadang pada hari penamaan calon,” katanya lagi.

Pada pilihan raya kali ini, kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional, R Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Yusoff (GTA) dan Ahmad Jufliz Faiza (PRM).

Selain Nurhaslinda, seorang lagi calon bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff turut bersaing merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.- MalaysiaGazette