KUALA KANGSAR – Penerimaan masyarakat Kuala Kangsar terhadap Barisan Nasional kini berubah berbanding Pilihan Raya ke-14 (PRU14).
Calon BN parlimen Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman berkata, jika dahulu mereka teragak-agak untuk menerima kehadiran BN, namun kini tidak lagi.
“Setelah saya bersama calon-calon lain di Parlimen Kangsar, kita sendiri tengok bagaimana kita dipelawa dan diterima kehadiran dengan lapang dada tidak kira agama, latar belakang. Melayu, Cina, India, Asli atau lain-lain, semuanya positif terhadap BN,” katanya kepada Malaysiagazette.
Menurutnya, banyak perubahan berlaku pada masyarakat setempat yang mana ia memberi petanda kemenangan bakal berpihak kepada BN pada PRU15.
“Kemenangan bakal kita perolehi, tetapi saya tidak boleh dahului ketetapan Allah SWT. Tapi apapun kita akan cuba usahakan kemenangan itu berpihak kepada kita,” ujarnya.
Maslin Sham berkata, penerimaan masyarakat terhadap BN kerana perjuangan berpaksikan rakyat mula disedari umum.
Dalam pada itu, Maslin Sham yang juga Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar berkata, masyarakat sudah tidak menerima taktik pembangkang sering menabur fitnah untuk memburukkan BN.
Malah rakyat juga tidak akan percaya dengan janji-janji pembangkang kali ini setelah mereka dijanjikan dengan bulan dan bintang pada pilihan raya lalu memandangkan keadaan telah berubah, katanya. – MalaysiaGazette