Tengku Zafrul Tengku Aziz

KUALA SELANGOR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) tidak akan mencampuri isu kelulusan projek rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion dan menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana proses perundangan telah pun bermula.

“Saya difahamkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengambil tindakan undang-undang.

“Proses perundangan sedang bermula dan saya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya dalam wawancara bersama media di sini, hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus ketika kerajaan sudah dibubarkan.

Rafizi berkata, dakwaan itu perlu dijawab segera oleh menterinya, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas kerana projek secara rundingan terus itu didakwa diserahkan kepada syarikat sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd. (Mangkubumi).

Sementara itu, Tengku Zafrul menerusi akaun Twitter menjelaskan, sekiranya terdapat pelanggaran, Rafizi diminta membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Menteri Kewangan itu, Rafizi tidak perlu menunggu sehingga memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membuat laporan.

“Semua perolehan dibuat mengikut peraturan sedia ada dan Tuan Ibrahim pun sudah serah surat tuntutan (LOD) kepada Rafizi.

“Kita tunggu sama ada kes ini dibicarakan di mahkamah atau tidak,” ciapnya.

Khamis lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaan berkaitan rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Mengikut laporan yang disiarkan portal rasmi Pas, surat tuntutan berkenaan telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

Berdasarkan surat tuntutan itu, Rafizi diminta untuk mengeluarkan satu draf permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dikeluarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette