SEBERANG PERAI – Calon Barisan Nasional Parlimen Batu Kawan, Datuk Tan Lee Huat meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti dan mengkaji semula sistem perairan tebatan banjir di kawasan Juru.
Ia susulan beberapa kawasan sekitarnya seperti Taman Sentul, Taman Sentul Jaya, Taman Mangga dilanda banjir kilat secara mengejut semalam.
Lee Huat berkata, sistem perairan di kawasan berkenaan perlu dikaji semula kerana beliau percaya ia tidak selaras dengan pembangunan terkini.
“Semalam kita dapat maklumat berhubung kejadian banjir di Taman Sentul dan beberapa kawasan berhampiran sebelum kita turun membantu mereka.
“Bagaimanapun, bagi saya pemberian bantuan sebegini tidak memadai kerana kejadian banjir menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
“Kalau tiap-tiap tahun penduduk kena berhadapan keadaan sebegini mereka hendak tidur pun tidak lena, semua mesti dalam ketakutan jadi kita kena buat sesuatu bagi menanganinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina True Light, Juru di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Lee Huat meminta JPS mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti punca utama banjir selain mengambil langkah menanganinya. – MalaysiaGazette