Calon Barisan Nasional P.151 Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra bersama pemain pemain pertandingan futsal sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2022.

SIMPANG RENGGAM – Lebih banyak kajian akan dibuat parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) di lapangan sehingga tiba hari mengundi pada 19 November ini.

Malah sehingga kini tiada parti berada dalam kedudukan selesa walaupun pelbagai kajian dibuat mengenai sokongan pengundi, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Setiap parti mempunyai strategi masing-masing dengan pengisian program.

“Saya kira sehingga 19 November, tidak ada parti berada di zon selesa untuk menang,” katanya ketika ditemui pada program pertandingan futsal di Balai Raya Kampung Ibrahim Majid, di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai kajian Merdeka Center baru-baru ini yang melaporkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak 35 peratus.

Dalam pada itu, Hasni berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Johor beliau akan memantau perkembangan 26 Parlimen yang ditandingi setiap hari.

Ujarnya, beliau akan memastikan tidak ada kelemahan daripada segi penganjuran program seperti sikap alpa dan sambil lewa di peringkat jentera parti.

“Buat kajian apa pun, pada 19 November keputusan kajian lebih tepat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hasni menasihatkan jentera BN tidak membalas provokasi daripada parti lawan.

Tegasnya, semua pihak perlu bersikap matang dan menjaga keselamatan pengundi.

Hasni menambah, beliau meminta pihak berkuasa seperti polis mengambil langkah keselamatan untuk mengelakkan insiden khianat seperti membakar khemah berulang.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian khianat membakar khemah di tepi bilik gerakan MIC di Batu Pahat.

Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Ibrahim Mat Som berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di lokasi sama dan disyaki berada dalam keadaan mabuk ketika tangkapan dibuat. – MalaysiaGazette