Calon Barisan Nasional P.098 Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (kanan) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Greenwood, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 13 November 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Megat Zulkarnain Omardin yakin pengundi-pengundi Gombak boleh menilai sendiri kepimpinan dua lawannya – Datuk Seri Mohammed Azmin Ali dan Datuk Seri Amirudin Shari kerana mereka dari parti yang sama dahulunya.

Calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Gombak ini berkata, mereka juga telah membuat janji-janji yang sama dulu kerana datang daripada pasukan sama.

“Rakyat yang pernah mengundi mereka, bersama mereka dapat menilai,” katanya selepas menyertai walkabout di Pasar Pagi Taman Greenwood di sini.

Megat Zulkarnain berkata, respons pengundi Gombak terhadap BN cukup baik dan sangat positif.

Malah, katanya anak-anak muda yang ditemui di kawasan perkampungan sekitar Gombak turut berikrar mahu memberi kepercayaan mereka kepada BN kali ini.

“Pada saya perkembangan ini sangat positif kerana ia organik kerana sokongan ini dizahirkan atas apa yang berlaku di keliling mereka,” ujar beliau.

Jelas Megat Zulkarnain lagi, meskipun kumpulan belia ini tidak mengundi pada PRU14 tapi mereka tahu pembohongan yang dibuat oleh pemimpin yang sudah diberi mandat sebelum ini.

”Walaupun mereka tidak mengundi dulu tapi saya terkejut melihatkan anak-anak muda ini tahu banyak benda melalui media sosial dengan janji yang tidak tertunai kerajaan terdahulu sewaktu PRU14,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast