Hazani Ghazali. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 15 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima daripadanya didaftarkan di Kedah diikuti Pahang (tiga), Pulau Pinang (dua), Sarawak (dua) dan masing-masing satu kertas siasatan dibuka di Perak, Selangor dan Johor.

“Kesemua kertas siasatan terbabit telah dibuka dan sedang disiasat di bawah Seksyen 324, 379, 427 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar rangkaian perkhidmatan dan komunikasi serta Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Selain itu, kami turut berjaya melakukan tangkapan ke atas tiga individu berkaitan kesalahan dan pengkhianatan kempen PRU15 semalam.

“Mengikut pecahan, tangkapan dua individu adalah berkaitan kes siasatan yang dibuka pada Jumaat lalu di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi suspek berjaya diberkas ditahan di Pulau Pinang semalam (Sabtu)” kata beliau dalam kenyataan, hari ini..

Tambah beliau, kes tangkapan suspek di Pulau Pinang dilaksanakan selepas pihaknya menerima laporan mengenai mangsa dipukul teruk oleh suspek ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Prai Garden, Jalan Baharu, Perai kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Kata Hazani, siasatan awal mendapati semasa kejadian, pengadu memaklumkan beliau yang sedang mengisi minyak didatangi seorang lelaki yang memarahinya kerana membuat laporan ke atas dia kerana mencabut bendera DAP yang dipasang di tepi jalan.

“Suspek kemudian bertindak mengambil batang besi lalu memukul kedua-dua kaki mangsa sehingga tercedera dan berdarah sebelum mengambil kunci motosikal pengadu dan membuat panggilan untuk memanggil rakan-rakannya yang lain ke lokasi.

“Mangsa yang ketakutan dengan tindakan suspek yang memanggil rakan-rakannya itu melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya di situ,” kata beliau.

Hazani berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, polis mengeluarkan 1,822 permit ceramah politik di seluruh negara semalam dengan 7,584 permit ceramah diluluskan untuk tempoh antara 4 hingga 12 November 2022.

Sebanyak 303 permit ceramat politik diluluskan di Sarawak diikuti Johor (269), Sabah (239), Perak (218), Kedah (179), Selangor (143), Pahang (109), Kelantan (102), Negeri Sembilan (62), Pulau Pinang dan Terengganu (masing-masing 57 permit), Kuala Lumpur (24) dan Perlis (16).

Polis juga mengesan tiga ceramah yang diadakan di Melaka tidak mempunyai kelulusan permit, kata Hazani. – MalaysiaGazette