BAGAN DATUK – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang yang mempunyai banyak wang selepas dilaporkan berikrar tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri sekiranya berjaya menjawat jawatan tersebut.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara sinis berkata, tawaran yang dilakukan oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu disifatkan sebagai ‘baik’.
Namun Ahmad Zahid menasihatkan mana-mana individu yang menjadi perdana menteri tidak akan mengambil langkah seperti yang dijanjikan oleh Anwar.
“Itu satu tawaran yang baik dan saya harap mana-mana perdana menteri tidak akan melakukan perkara yang sama kerana mungkin dia lebih banyak duit berbanding orang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ahmad Zahid yang mempertahankan Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ditemui selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Telegu di Kuai Sri Venkateswara di sini.
Media melaporkan, Anwar mengisytiharkan bahawa jika dilantik sebagai perdana menteri, dia tidak akan mengambil gajinya.
Ia sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan harga barang.
Presiden PKR itu mendakwa rakyat muak dengan perdana menteri menjalani gaya hidup mewah manakala rakyat biasa sedang bergelut dari segi kewangan.
“Saya akan malu untuk mengambil gaji perdana menteri sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan harga barang.
“Dalam Islam, kuasa adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan,” kata Anwar kepada orang ramai semasa ceramah kempen di Kalabakan, Sabah.
Anwar bertanding merebut kerusi Parlimen Tambun. Pemimpin dan calon PH yang bertanding menguar-uarkan Anwar akan menjadi perdana menteri sekiranya parti itu menang PRU15.-MalaysiaGazette