PEKAN – Memasuki hari ke 10 kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – limpahan gelombang biru Barisan Nasional (BN) Pahang semakin terasa.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aura dibawa para penyokong itu memberi bayangan untuk BN mengekalkan kerusi Parlimen Pekan dan kempat-empat kerusi Dewan Undangan (DUN) di bawahnya.
“Alhamdulillah kita boleh tengok gelombang penuh dalam dewan ini, semakin dekat hari mengundi semakin tinggi semakin bersemangat, insya-Allah ia diterjemahkan pada 19 November ini.
“Saya begitu optimis kita dapat kekalkan, pertahankan kubu BN di Chini di sini dan semua DUN di Parlimen Pekan.
“Walaupun tiada Bossku (Datuk Seri Najib Razak), semangat beliau tetap ada dalam BN. Sebelum ini sudah 5-0, kali ini kita kekalkan dengan majoriti tinggi.
Menteri Besar Pahang itu juga menyeru semua pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab pada 15 November ini dan berharap mereka membuat keputusan yang bijak demi masa depan negara.
Tambah Wan Rosdy, pihaknya yakin dapat memperoleh majoriti lebih tinggi pada PRU15 nanti memandangkan rekod prestasi penyandang DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain.
“Kita sasarkan majoriti lebih tinggi memandangkan penyandang kerusi DUN Chini sebelum ini buat kerja.
“Pengundi akan melihat track record dan memberi sokongan kepada BN. Untuk undi awal esok, saya yakin pengundi akan buat keputusan yang bijak,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni warga Felda Chini sempena Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang di Dewan Dato Shah Bandar Dara di Chini hari ini.
Sementara itu, Sharim turut yakin sokongan yang bakal diraih berpihak kepada BN.
Beliau yang berkhidmat ketika memenangi Pilihan Raya Kecil Chini dua tahun lalu berhasrat untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat menggunakan pengalamannya untuk terus mendekati rakyat.
“Saya lihat kali ini kita berhadapan gelombang parti-parti besar tapi saya yakin Chini adalah kubu kuat BN kerana kesetiaan pengundinya, jenteranya, orang lama, orang muda masih setia bersama BN.
“DUN Chini dan Parlimen Pekan kita akan dapat pertahankan demi kestabilan dan kemakmuran bersama. Tempoh dua tahun tempoh pembelajaran saya bersama tiga kelompok termasuk orang Felda, kampung tradisi dan masyarakat Orang Asli dapat mendengar dan menyampaikan keluh kesah mereka.
Inilah perjuangan saya untuk saya membuktikan perubahan yang saya bawa kemampuan kerajaan BN di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang,” tambah Sharim. – MalaysiaGazette
5-0 GOLLL….hasil team IDT tempoh hari…..ha haha