Calon Barisan Nasional N.33 Bilut, Wong Siew Mun ketika ditemubual Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Lurah Bilut, Pahang. Foto FAREEZ FADZIL, 08 November 2022.

BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N33 Bilut, Wong Siew Mun akan membawakan tiga isu utama rakyat tempatan.

Tiga perkara tersebut adalah memperkasakan ekonomi tempatan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan, memperkasakan belia dan mendesak rancangan tebatan banjir di Bilut.

“Sudah dua tahun saya berkhidmat untuk rakyat Bilut, inilah tiga perkara yang akan saya beri keutamaan. Sebagai pemimpin, sudah pasti isu berkaitan orang muda akan saya beri perhatian juga.

“Terlalu ramai anak muda tempatan yang terpaksa berhijrah ke luar kerana kurangnya peluang pekerjaan di sini.

“Saya juga pernah bekerja di luar dan sekarang sudah sampai masanya saya mahu membantu anak belia di sini agar kita sama-sama menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Siew Mun, banyak yang boleh dibangunkan bersama-sama belia di Bilut untuk pastikan golongan itu menikmati pekerjaan yang baik.

Tambah beliau, antaranya sektor pertanian boleh dijadikan sumber ekonomi di Bilut

“Untuk melibatkan belia, saya perlu memastikan pertanian moden dan melaksanakan kerjasama strategik dengan pihak luar,” ujarnya.

Menyentuh mengenai banjir, Siew Mun berkata, sesuatu harus dibuat dengan segera dan isu banjir bukan baharu.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen Bentong untuk memasang kamera litar tertutup (cctv) yang disambungkan ke internet di sungai.

“Ini akan membolehkan penduduk memantau keadaan sungai menggunakan telefon bimbit mereka.

“Ini salah satu usaha agar projek tebatan banjir dapat dielakkan,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast