Datuk Mazli Mazlan

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menasihatkan orang ramai supaya meraikan kemenangan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di rumah masing-masing.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya tidak membenarkan sebarang bentuk perarakan dilakukan selepas keputusan PRN diumumkan.

”Kita tidak benarkan mereka berarak, berkonvoi, atau pun memasang bunga api atau segala bentuk vandalisme yang boleh memusnahkan harta kerajaan.

”Mereka boleh meraikan kemenangan calon di rumah di masing-masing sahaja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Menurut Mazli, pihaknya akan melakukan sekatan jalan raya (SJR), rondaan Unit Kereta Peronda (MPV), rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan pasukan trafik menjalankan pemantauan di seluruh negeri.

Tambah beliau, sehingga kini proses perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu masih terkawal. – MalaysiaGazette