LIPIS – Pelbagai ragam penyokong melahirkan sokongan kepada parti dan mempromosi calon mereka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seorang pesara tentera di Kuala Medang, Abdul Hadi Pilus, 56, sebagai contoh membuat transformasi motosikal scrambler menjadi ‘kereta kebal bergerak’ mengusung poster calon kesayangannya ke merata tempat.
“Kereta kebal’ sepanjang dua meter itu mempamerkan dua poster calon yang ditampal pada ruang hadapan menampilkan calon Dewan Undangan negeri (DUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor.
“Bila kita lalu bawa motor kereta tugu kebal Barisan Nasional (BN) ini berjaya menarik perhatian orang ramai. Selain itu boleh memperkenalkan calon kepada pengundi baharu iaitu orang muda.
“Saya nak bagi orang nampak BN , sebagai sokongan kepada Tok Wan (Wan Rosdy) dan Ramli, kedua-dua calon memang baik dan banyak membantu kawasan, sebab itu kita kena sokong.
“Bawa motosikal ini juga budak-budak muda saya dekati, supaya mereka lebih mengenali calon tempatan di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Beliau hanya berbekalkan modal RM50 dan kreativiti itu berjaya meraih perhatian ramai.
Idea membina ‘kereta kebal’ itu sebagai simbolik bagi mempertahankan kubu BN di Cameron Highlands
“Saya ini ahli UMNO dari awal lagi dari zaman ayah saya ada lagi memandangkan saya pesara tentera saya memperjuangkan UMN0 sebab saya sayang.
“Saya menyiapkan dalam masa sejam setengah dan bermodalkan RM50 untuk menghasilkan kereta kebal bergerak ini. Cuma gunakan papan lapik siling kayu, pengikat, dua bendera panjang, lima bendera besar dan bendera kecil,” katanya lagi.
Abdul Hadi juga pernah membina monumen statik pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands tidak lama dahulu. – MalaysiaGazette