Undi-18 ini akan menjadi penentu masa hadapan negara melalui peti undi.

GENDANG PRU-15 telahpun dipalu. Tarikh 19 November ini merupakan penentu masa depan Malaysia sama ada akan menjadi sebuah negara yang dinamik ataupun mengekalkan status-quo.

Undi-18 yang telah diluluskan baru-baru ini, akan menjadi satu sejarah yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah Malaysia apabila penyertaan belia muda menentukan masa hadapan negara melalui peti undi di seluruh negara.

Had umur belia di Malaysia juga telah dicadang diturunkan kepada 30 tahun daripada 40 tahun. Ini bagi menyokong aspirasi Undi-18 yang telah luluskan baru-baru ini.

Peranan media sosial juga didapati akan menjadi penyumbang utama keputusan yang akan diperoleh pada malam Sabtu ini.

Parti-parti yang bertanding pada pilihan raya ini harus mengambil kesempatan dan peluang mengadakan kempen di media sosial yang lebih mudah, kritis dan informatif menggunakan infografik serta video yang menarik berbanding kempen keras menggunakan ceramah yang terbatas dari segi penyampaian serta logistik kepada umum.

Perang saraf yang dilancarkan di media sosial juga haruslah diserang balas dengan maklumat tepat bagi memastikan maklumat yang betul dapat disalurkan kepada pengundi muda serta pengundi baru ini kelak.

Pengundi muda banyak menggunakan media sosial bagi mendapatkan maklumat. Maklumat yang salah mahupun betul sekiranya tidak ditangani secara baik akan menjadi medan fitnah dan disampaikan dari satu sumber kepada umum.

Pada akhirnya maklumat ini juga akan digunakan sebagai panduan bagi mereka memilih calon yang bertanding pada PRU15 ini.

Merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) terhadap pengundi muda pada PRN Johor yang lepas, ada beberapa faktor utama menjadi pemilihan pengundi muda terhadap calon politik.

Antaranya faktor rakan, keluarga dan juga rayuan saat akhir oleh perayu undi di tempat pembuangan undi.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun ini, pengundi muda nampak lebih bijak bagi mencari maklumat di internet dan juga media sosial.

Pelbagai perbincangan telah dianjurkan secara maya dalam kalangan aktivitis muda bagi memberi penerangan ringkas terhadap sistem politik tanah air kepada golongan tersebut.

Tidak kurang juga pelbagai saluran di media sosial yang digunakan bagi menambah kekeliruan dalam kalangan gologan muda bagi memecah undi.

Bagaimanapun, masih ada masa dan baki waktu bagi parti yang bertanding menyediakan bahan untuk memperbetulkan persepsi tidak tepat yang dilontarkan oleh pihak lawan agar penerangan diberikan dapat memberi kepuasan kepada pengundi baru terutamanya pengundi atas pagar. – MalaysiaGazette

Penulis, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Zairul Mohd Noor adalah Ketua Lab, Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM Serdang.