KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Batu, P Prabakaran didakwa memuat naik kertas undi untuk kawasan Parlimen itu di akaun Instagram miliknya, semalam.
Perkara itu didedahkan lawannya, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali Siti Kassim yang bertanding sebagai sebagai calon Bebas.
Prabakaran didakwa memuatnaik status: “Batu anda pilih siapa, jangan tersalah pilih.
“Paling penting jangan undi calon N01,” tulis beliau di ruangan stories Instagram itu.
Status itu didakwa dimuatnaik Prakabaran menerusi Instagram pelayar lain.
Dalam pada itu, Siti Kassim berkata, perkara itu akan dilaporkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Prakabaran calon PH yang main kotor, saya akan laporkan kepada polis dan SPR,” katanya di Facebook hari ini.
Memuat naik kertas undi di laman sosial merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954). – MalaysiaGazette