Ronaldo dan Erik ten Hag. - Foto The Mirror.

LONDON – Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo secara terbuka mendakwa Manchester United telah mengkhianatinya dan mengakui bahawa dia tidak menghormati pengurus Erik Ten Hag.

Bercakap mengenai kelab itu, Ronaldo turut berkongsi rasa kecewa dan mendedahkan beberapa individu mahu menyingkirkan sejak dia kembali ke Old Trafford pada Ogos 2021.

Pemain antarabangsa Portugal itu berpendapat United telah mengkhianatinya selepas apa yang dia lakukan kepada kelab itu walaupun sanggup melupakan tawaran Manchester City demi United.

“Saya rasa dikhianati. Dan saya rasa ada orang tidak mahu saya di sini, bukan sahaja tahun ini tetapi tahun lalu juga,” kata pemenang Ballon d’Or lima kali itudalam temu bual selama 90 minit dengan Piers Morgan awal pagi tadi.

Ronaldo menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak United musim lalu dengan 24 gol dalam semua pertandingan tetapi Red Devils hanya berjaya menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana.

Ini membawa kepada pertukaran pengurus, dengan Ten Hag dilantik menggantikan Ralf Rangnick yang menggalas jawatan secara interim.

Hubungan Ronaldo dan Ten Hag kelihatan renggang sejak awal musim selepas bintang Portugal itu memberitahu United dia mahu meninggalkan kelab tersebut pada Julai lalu.

Ronaldo tidak berjaya dalam usahanya untuk pergi kelab yang bermain di Liga Juara-Juara selain gagal menjadi pemain penting di United di bawah Ten Hag sejak awal musim ini yang mana dia hanya memulakan hanya empat perlawanan liga untuk pasukan musim ini.

Dia secara terbuka kadang-kadang menunjukkan kekecewaannya apabila enggan masuk sebagai pemain gantian menentang Tottenham bulan lalu dengan beredar masuk ke dalam terowong dan meninggalkan Old Trafford sebelum wisel penamat.

Ini menyebabkan dia digantung daripada skuad untuk perlawanan seterusnya menentang Chelsea.

Namun Ronaldo mengakui dalam temubual itu dia tidak mempunyai rasa hormat terhadap Erik Ten Hag.

“Saya tidak menghormati dia kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya,” kata Ronaldo ketika bercakap mengenai Ten Hag.

“Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda.”

Ronaldo dikatakan kecewa kerana Ten Hag dan United dikatakan tidak ada rasa empati ketika dia meminta diberikan kelepasan khas untuk pra musim kerana anaknya sakit.

Apabila Ronaldo kembali ke United, dia pada mulanya bekerja di bawah Ole Gunnar Solskjaer, tetapi bekas rakan sepasukannya telah dipecat November lalu selepas keputusan buruk.

Ini membawa kepada juara Liga Perdana 13 kali itu melantik pengurus sementara, Ralf Rangnick sehingga akhir musim.

Keputusan United gagal meningkat di bawah Rangnick, dan Ronaldo kini mempersoalkan sama ada Rangnick mempunyai kelayakan untuk menguruskan kelab itu, selepas menghabiskan sebahagian besar kariernya sebagai pengarah sukan.

“Dia malah bukan seorang jurulatih, bagaimana anda akan boleh menjadi jurulatih Manchester United? Saya tidak pernah mendengar tentang dia,” tambah Ronaldo. – MalaysiaGazette