PEKAN- Calon Gerakan Tanah Air (GTA) Pekan Datuk Mohd Radhi Abdul Razak tidak meletakkan harapan tinggi untuk merobohkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Namun, anak jati Pekan itu mendakwa masih mampu meraih undi yang tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini dan sekali gus mengurangkan majoriti pemenang kerusi itu nanti.
Menurut Mohd Radhi, keyakinan itu berdasarkan maklum balas daripada golongan muda di Pekan yang mempunyai ideologi serta pandangan berbeza berbanding pengundi lain.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga memberitahu, beliau berjaya mendekati anak-anak muda dengan cara tersendiri.
“Menerusi program turun padang yang saya jalankan untuk bertemu pengundi, saya yakin bukan semua di Pekan pengundi setia pada BN,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambahnya, semua parti yang bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan mempunyai peluang sama rata untuk menang.
Menurut anak jati Pekan itu, beliau menyertai politik dan bertanding di kerusi Parlimen untuk kerana mahu menyumbang bakti dan meningkatkan ekonomi rakyat serta pembangunan di kawasan itu.
“Disebabkan itu saya terpaksa menyertai politik dan bertanding.
“Pencalonan saya sebagai wakil parti Pejuang di sini dipersetujui Presiden, Tun Mahathir yang berkata bahawa saya paling layak berdasarkan latar belakang dalam sektor ekonomi,” ujarnya lagi.-
Mohd Radhi bersaing dengan empat lagi calon yang bersaing merebut kerusi itu iaitu calon BN sendiri, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi, Mohd Naim Zainal Abidin (PKR – PH), Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (Pas – PN) dan seorang calon bebas.-MalaysiaGazette