Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-15 sudah semakin menghampiri kita. Namun, berdasarkan pemerhatian kasar penulis, debaran dan kemeriahan menanti sebuah PRU sudah mula kehilangan auranya jika dibandingkan dengan pilihan raya-pilihan raya umum yang lalu. Hal ini kerana ada dikalangan pengundi sudah mula hilang kepercayaan kepada senario politik sedia ada terutamanya selepas PRU14. Peristiwa “Langkah Sheraton” misalnya telah sedikit sebanyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan kepimpinan sedia ada.

Peristiwa ini juga telah memaksa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa prerogatif baginda yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu; pada ketika negara sudah mula melalui detik-detik getir akibat bergelut dengan ancaman wabak Covid-19 pada ketika itu. Oleh itu, bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Parlimen telah menggubal suatu mekanisme yang berbentuk undang-undang anti lompat parti bagi memastikan peristiwa seumpamanya tidak lagi berulang. Namun persoalannya, sejauh manakah undang-undang yang digubal mampu menghentikan amalan lompat parti?

Asas dan keabsahan sistem pemilihan pemimpin di Malaysia

Secara amnya, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan. Terma “demokrasi” berasal daripada perkataan Yunani iaitu demokratia yang terbentuk daripada dua suku kata berbeza, iaitu demos yang bermaksud rakyat, dan juga kratos yang bermakna pemerintahan. Oleh itu boleh kita simpulkan bahawa demokrasi bermaksud “pemerintahan rakyat”. Sehubungan itu, diantara ciri utama demokrasi adalah terdapat satu konsep pemilihan pemimpin, ataupun wakil rakyat oleh rakyatnya sendiri.

Wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat ini diberi mandat oleh rakyatnya untuk menggubal undang-undang serta mentadbir negara untuk satu tempoh yang ditetapkan. Di Malaysia proses pemilihan ini dijalankan melalui Pilihanraya, dan sudah tentu acara pemilihan terbesar didalam negara adalah Pilihanraya Umum. Tujuan utama sebuah PRU diadakan adalah untuk memilih ahli-ahli Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan, dan juga ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri. Oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem “First-Past the Post” bagi tujuan pilihanraya, maka parti atau gabungan parti yang
memenangi kerusi terbanyak akan mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan.

Proses pembentukan kerajaan ini dimulai dengan perlantikan seorang ketua kerajaan, iaitu Perdana Menteri (PM) di peringkat Persekutuan, manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri di peringkat negeri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, kelayakan utama untuk dilantik sebagai PM adalah beliau mestilah salah seorang ahli Dewan Rakyat yang memimpin keyakinan majoriti di dewan tersebut. Perkara yang sama juga secara amnya terpakai untuk Menteri Besar atau Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri.

Perlantikan kedua-dua jawatan tersebut dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi PM, manakala Sultan ataupun Yang di-Pertua Negeri bagi Menteri Besar ataupun Ketua Menteri. Melalui perlantikan tersebut, ia membuka ruang kepada ketua kerajaan untuk kemudiannya membentuk kerajaannya. Pada kebiasaanya, mandat sesebuah kerajaan untuk memerintah berlangsung selama 5 tahun.

Berdasarkan penerangan diatas, dapat disimpulkan disini bahawa, pusat utama kuasa sesebuah kerajaan terletak diatas mandat yang ada pada seseorang ketua kerajaan tersebut. Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang Ketua Kerajaan memilih untuk meletak jawatan, ataupun hilang keyakinan majoriti didalam Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri, maka dengan sendirinya mandat kerajaan yang dibentuknya juga terbubar.

Kehilangan keyakinan majoriti terhadap seseorang ketua kerajaan juga boleh dicetuskan oleh aktiviti lompat parti dikalangan ahli dewan rakyat atau dewan undangan negeri. Hal luar kebiasaan ini sudah tentu dapat mencetus krisis perlembagaan serta mengundang ketidakstabilan politik, yang sudah tentu boleh memudaratkan negara untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, suatu mekanisme khusus telah dibentuk bagi menjamin kelangsungan mandat yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya.

Undang Undang Anti Lompat Parti di Malaysia

Bagi menjamin kestabilan politik dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemilihan pemimpin negara, Parlimen pada baru-baru ini telah meluluskan sebuah mekanisme bagi mengekang aktiviti lompat parti dikalangan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Mekanisme pencegahan ini dikuatkuakan menerusi sebuah Akta Parlimen yang dipanggil Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau dikenali sebagai Akta A1663 yang mula berkuatkuasa pada 5 Oktober 2022. Akta A1663 berperanan sebagai sebuah Akta pindaan terhadap beberapa Perkara dan Fasal didalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan berpersatuan dan juga keanggotaan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Di antara ciri signifikan Akta A1663 adalah dengan tambahan peruntukan Perkara 49A didalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh definisi dan pengecualian terhadap aktiviti lompat parti di Dewan Rakyat. Menurut Perkara 49A(1)(a), seseorang ahli Dewan Rakyat yang mewakili suatu parti politik boleh didefinasikan sebagai melompat parti sekiranya beliau melepaskan keanggotaan parti politiknya, ataupun tidak lagi menjadi ahli anggota parti politik tersebut. Manakala, Perkara 49A(1)(b) turut mentakrifkan bahawa, seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihanraya diatas tiket calon bebas, turut
ditafsirkan sebagai melompat parti sekiranya beliau menyertai sesuatu parti politik sebagai anggota parti tersebut.

Sekiranya senario-senario di atas berlaku, maka keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tersebut adalah terhenti dan kerusinya haruslah dikosongkan. Hal ini sekiranya berlaku, sudah tentu akan menuntut sebuah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen berkaitan diadakan sepertimana yang dituntut dibawah Perkara 49(A)(4) Perlembagaan Persekutuan. Namun, larangan terhadap lompat parti ini bukanlah mutlak dan tertakluk kepada beberapa pengecualian. Hal ini dinyatakan dengan jelas menerusi Perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tiga perkara yang tidak menghentikan keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat.

Di antaranya adalah sekiranya parti yang diwakilinya dibubarkan atau pendaftaran parti politiknya dibatalkan. Keduanya sekiranya ahli Dewan Rakyat tersebut mendapat pelepasan keanggotaan dari parti politiknya apabila terpilih untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Akhir sekali, sekiranya beliau dipecat daripada parti politik yang sedang dianggotainya. Manakala diperingkat Dewan Undangan Negeri pula, larangan dan pengecualian yang sama mengenai aktiviti lompat parti dinyatakan melalui pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menerusi Akta yang sama. Namun bagi tujuan penguatkuasaan di peringkat negeri, ia perlulah mendapat persetujuan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri di negeri yang bekenaan.

Kelemahan-kelemahan dan cadangan penambahbaikan

Walaupun mekanisme anti lompat parti yang diluluskan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan ini boleh disifatkan sebagai satu usaha yang sangat baik, namun penulis berpendapat bahawa masih terdapat beberapa kelemahan ataupun lacuna yang ketara yang masih boleh dimanupulasi bagi tujuan melompat parti. Pertamanya, disebabkan keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat, maka terdapat kemungkinan bahawa ahli Dewan tersebut dengan secara curangnya menimbulkan sesuatu kekacauan didalam partinya sendiri yang boleh membawa kepada pemecatan beliau. Melalui kaedah ini, maka ahli Dewan tersebut dapat mengekalkan keahliannya di Dewan Rakyat samada sebagai calon bebas, ataupun menjadi anggota parti yang lain, tanpa perlu mengosongkan kerusinya.

Keduanya, Perkara 49A hanya menyentuh keanggotaan ahli Dewan Rakyat di peringkat individu, dan bukanlah merangkumi penukaran pendirian parti secara kolektif. Oleh itu, seorang ahli Dewan Rakyat tidak akan dikira sebagai melompat parti sekiranya sesebuah parti politik yang dianggotainya mengambil keputusan untuk menyokong atau menarik sokongan terhadap sesebuah gabungan politik. Pada pandangan penulis, kelompongan undang-undang terhadap perkara yang disebutkan adalah amat serius memandangkan sokongan atau penarikan sokongan terhadap sesebuah gabungan politik dapat meruntuhkan atau membentuk sesebuah kerajaan. Hal ini sekaligus memusnahkan matlamat asal pindaan Perlembagaan tersebut dilakukan, – yakni bagi tujuan untuk memberi kestabilan kepada sistem politik sedia ada.

Oleh itu, pada pandangan penulis terdapat beberapa langkah mitigasi yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko-risiko yang timbul daripada kelemahan-kelemahan yang dinyatakan. Ini termasuklah dengan memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang anti rasuah dengan lebih holistik dan tegas. Dalam pada masa yang sama, undang-undang yang mengawal selia dana politik juga harus diperkenalkan. Hal ini kerana penulis berpendapat terdapat kemungkinan bahawa aktiviti lompat parti boleh didorong oleh politik wang dan apa apa perbuatan pecah amanah yang berkaitan.

Seterusnya, ruang bagi Public Interest Litigation yang mana rakyat kebanyakan diberi kuasa untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana pihak diatas isu-isu berkepentingan awam haruslah ddiperkenalkan. Menerusi kaedah ini, ia akan membuka ruang kepada pengundi untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu yang melompat parti secara tidak betanggunjawab, sekaligus berpotensi untuk menjadi langkah pencegahan yang ampuh terhadap aktiviti tersebut.

Oleh: Dr. Hafidz Hakimi  Haron
Jawatan: Pensyarah, Fakulti Undang-Undang,
Universiti Multimedia, Kampus Melaka