Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada Jelajah Mega Harapan Batu di Taman Datuk Senu Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti politik paling kaya di Malaysia ketika ini.

Katanya, ini kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana kelapan telah meluluskan kontrak tanpa tender sebanyak RM580 bilion ketika melaksanakan darurat sewaktu pandemik Covid-19 awal tahun lalu.

Presiden PKR itu berseloroh, biarlah beliau dipanggil perdana menteri (PM) tepi daripada menjadi perdana menteri penyamun.

“Muhyiddin kata saya perdana menteri tepi selama ini, lebih baik perdana menteri tepi daripada perdana menteri penyamun. Yang gagal rakyat dan negara, dia (Muhyiddin) tak gagal.

“Nilai kontrak RM580 bilion yang tidak ada tender guna masa darurat, bila tidak ada tender ini, buat jalan, harga RM500 juta, dia boleh letak RM550 juta, tidak ada siapa hendak periksa.

“Sebab itu tengak Bersatu parti paling kaya, Pas ni sokong sahaja. Masa 1MDB Pas kata apa? Projek DNB (Digital Nasional Bhd.) bernilai RM18 bilion juga tiada tender .

“Bagaimana boleh tadbir negara macam itu? Sebab itu saya kata tukarlah (kerajaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jom Ngeteh Bersama Anwar Ibrahim di Bazaria Pantai, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Anwar yang juga calon PH Parlimen Tambun yakin rakyat akan memilih parti gabungan itu untuk membawa perubahan dan pihaknya akan menunaikan kehendak rakyat itu.

“Ini peluang baik bagi kita untuk menukar landskap politik tanah air dengan mengangkat wakil rakyat (PH), menteri dan menukar Perdana Menteri. Jika rakyat mahu perubahan, saya ikut.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu berapa banyak warung ditutup…jadi oleh itu kita kena pastikan ubah kerana negara ini dan rakyatnya sudah elok, hasil banyak tetapi hanya pemimpin kaya semuanya.

“Bagi kita kesempatan untuk buat perubahan. Ada orang kata sama saja ketika PH memerintah 22 bulan… ada kebaikan, ada kekuatan dan ada kelemahan sepanjang tempoh itu di mana siapa ketuanya (Perdana Menteri) ketika itu tetapi kalau 20 November ini kita menang ketuanya siapa pula,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Salah seorang yg paling kaya ialan Rafizi Ramli dgn kekayaan bernilai 19 juta walaupun syarikat rugi dan jd MP kejap jaa..malah kekayaan dia melebihi PM termasuk DS Najib..

Comments are closed.