Mangsa, Mohd Khairil Amli Khalid, 35, bersama 17 orang telah mendaki Gunung Tahan melalui Merapoh pada 10 November lalu.

LIPIS – Seorang pendaki yang cedera berjaya dibawa keluar  Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) dari Kem Belumut ke Kuala Juram pada pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, Ketua Polis Balai (KPB) Merapoh menerima maklumat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis berkaitan kejadian itu pada jam 12 tengah hari pada Ahad lalu.

Mangsa, Mohd Khairil Amli Khalid, 35, bersama 17 orang telah mendaki Gunung Tahan melalui Merapoh pada 10 November lalu.

Pasukan lima orang anggota MoSAR berjaya membawa keluar seorang pendaki lelaki yang cedera di bahagian lutut semasa melakukan pendakian ke Gunung Tahan pada pukul 2.30 petang semalam.

“Mangsa, beralamat di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan turut dipandu arah oleh dua orang malim gunung.

“KPB Merapoh menerima maklumat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis berkaitan kejadian itu dan berjaya menghubungi malim gunung dan dimaklumkan mangsa tidak mampu untuk bergerak untuk perjalanan turun ke Kuala Juram yang jaraknya kira-kira 26.5 kilometer kerana kecederaan dialaminya,” katanya.

Azli memaklumkan, anggota MoSAR telah bergerak ke Kem Belumut pukul 3 petang dan sampai di tempat kejadian pukul 5 petang kerana keadaan semakin gelap, mangsa dan anggota MoSAR bermalam di Kem Kor.

Mangsa dibawa keluar bersama MoSAR dan bergerak ke Kuala Juram pukul 8.30 pagi dan tiba pada jam 2.30 petang semalam. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Merapoh untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette