REMBAU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menambah baik proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melibatkan anggota polis dan tentera agar pengundi tidak menunggu terlalu lama untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemerhatian beliau terhadap proses tersebut hari ini mendapati ia terlalu perlahan.
Malah, kata calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu, laporan SPR menyatakan bahawa hanya 16 peratus yang keluar mengundi setakat pukul 9 pagi tadi.
“Sebab itu saya minta supaya pegawai pengurus pilihan raya untuk melihat semula semua proses jangan tunggu sampai orang dah keluar masuk balik itu melambatkan proses.
“Orang dah masuk mencelupkan tangan (ke dalam botol dakwat) dah boleh masuk, lepas tu ada dua tempat mengundi, apa guna letak dua kalau seorang sahaja yang pakai? Pakailah dua orang sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad berharap SPR dapat menghubungi pegawai pengurus pilihan raya di seluruh negara supaya proses pengundian awal dapat dipercepatkan.
“Nanti pengundi gelisah. Kita lihat sudah sejam mereka berdiri menunggu giliran untuk masuk,” jelasnya.
Seramai 15,048 anggota tentera dan 5,176 anggota polis serta pasangan mereka terlibat dalam proses pengundian awal di seluruh Negeri Sembilan hari ini. – MalaysiaGazette