KUANTAN –Ideologi dan kecenderungan terhadap satu-satu parti politik oleh pengundi muda yang pulang dari perantauan mampu mengubah pemikiran dan keputusan pengundi di sesebuah kawasan.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd. Nazahar berkata, pastinya ada perbezaan sosiologi dan pemikiran di antara perantau yang tinggal di luar Pahang berbanding pengundi-pengundi yang sedia ada di sini.
Jelas beliau, faktor berkenaan turut menjadi penyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
“Itu merupakan salah satu perkara yang perlu kita lihat kerana ia akan membentuk suatu pemikiran kepada kawan-kawan mereka yang berada di sini,” katanya.
Ketika ditemui MalaysiaGazette di Kemunting, di sini, Ab Hamid mengakui tugas untuk merebut kerusi Parlimen Kuantan daripada pihak lawan bukan satu perkara yang mudah.
Bagaimanapun, jentera BN sentiasa bergerak tanpa jemu untuk memastikan kemenangan parti itu pada PRU15.
“Kita akan berusaha dan mencuba yang terbaik untuk memastikan para pengundi melihat rekod baik UMNO dan BN semasa memerintah.
“Jentera kita di peringkat akar umbi pun sentiasa berada di lapangan terutama ketika warga Kuantan mengalami banjir, wabak Covid-19 dan sebagainya,” jelas Ab Hamid.
Tambahnya, BN juga akan memberikan tentangan hebat kepada saingannya.
Pada PRU15 kali ini, Ab Hamid bersaing dengan penyandang kerusi Kuantan, iaitu Fuziah Salleh (PH), Wan Razali Wan Nor (PN) dan Mejar (B) Anuar Tajuddin (Pejuang).-MalaysiaGazette