Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Andew Claster, salah seorang pengarah utama kempen pilihan raya parti Demokrat Amerika Syarikat telah dikesan oleh netizen antara lembaga pengarah syarikat Invoke yang dimiliki oleh Rafizi Ramli.

Claster adalah Presiden The National Endowment for Democracy (NED), yang juga cabang CIA, Amerika Syarikat yang pernah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan utara agensi tersebut pada tahun 2019.

Selepas PRU14, Presiden The International Republican Institute Amerika Syarikat juga pernah mendedahkan bahawa mereka sudah lama menyokong dan membantu Pakatan Harapan (PH) kerana kemenangan PH telah menyekat negara China.

Malah,  presiden tersebut pernah melawat Jabatan Perdana Menteri secara senyap sebaik sahaja PH menang PRU14.

Pengendali Facebook Datuk Seri Najib Razak berkata, netizen mula memerhati syarikat Invoke setelah Rafizi membuat deklarasi aset tinggi yang amat mengejutkan serta penjelasan selanjutnya yang tidak menyakinkan malah meragukan.

Rafizi kata nilai aset bersih Invoke naik mendadak pada tahun ini sebab nilai syarikat yang rugi memanjang telah naik mendadak sehingga bernilai RM105 juta.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) itu mendedahkan  kenaikan nilai aset mengejut  susulan Invoke menerima pelaburan yang amat besar sekitar RM20 juta pada tahun ini.

Kenaikan itu menyebabkan nilai aset Invoke naik mendadak dari defisit tahun lepas ke positif RM19 juta tahun ini biarpun pendapatan jualan Invoke agak rendah sekitar RM4 juta ke RM6 juta setahun sahaja bagi tahun-tahun lepas.

Biarpun Rafizi hendak membanding-bandingkan syarikatnya dengan Grab atau Facebook namun realitinya ialah Invoke hanya sekadar syarikat yang memberi khidmat pemasaran online biasa-biasa sahaja yang kurang scalable (berskala) sebab banyak bergantung kepada tenaga kerja.

Ini menyebabkan ramai netizen mula menyiasat syarikat Invoke secara mendalam.

Susulan siasatan yang dibuat netizen, mereka mengesyaki peningkatan nilai aset susulan pelaburan besar ke dalam Invoke mungkin merupakan satu usaha bagi pengaliran dana politik asing serta pengubahan wang haram (AMLA).

Apatah lagi, netizen juga mendapati bahawa antara pelabur terbesar ialah sebuah syarikat yang dinamakan “Invoke Partners Ltd (Taiwan)” yang sukar dikesan.

Ada juga yang syak bahawa dana derma yang dikutip dari orang awam turut digunakan bagi tujuan komersial Invoke.

Disebabkan itu, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun mengambil tindakan setelah beberapa orang membuat laporan terhadap Invoke, kata pengendali Facebook Najib lagi. – MalaysiaGazette