BERA – Soal pemilihan UMNO biar dibincangkan selepas Barisan Nasional (BN) menang Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN akan rugi jika kalah pada pilihan raya hanya kerana berlaku perpecahan dalam UMNO yang berpunca daripada proses pemilihan parti.
Justeru, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mahu soal pemilihan parti akan dibincangkan kemudian selepas BN menang kelak.
“Jadi lupakanlah soal pemilihan parti, siapa nak jadi presiden, siapa nak jadi timbalan presiden. Siapa line up nak jadi presiden, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan sebagainya. Tidak perlu,” katanya ketika ditemui di Mengkarak Station hari ini.
Menurut Ismail Sabri, yang penting adalah BN menang dan memerintah dahulu selepas PRU15 dan ada masa enam bulan lagi untuk menentukan kepimpinan parti.
“Waktu itu, boleh kita berbincang,” jelasnya.
Sementara itu, calon BN Parlimen Bera itu juga menjelaskan dirinya tidak pernah cuba untuk menarik sokongan pemimpin-pemimpin UMNO lain untuk membentuk kem atau cai bagi menghadapi pemilihan parti nanti.
Katanya, meski memegang jawatan perdana menteri, beliau tidak pernah memanfaatkan kedudukannya untuk merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti enam bulan dari sekarang.
“Tapi saya tak buat begitu. Bagi saya, kerja saya adalah fokus kepada tugas saya sebagai perdana menteri. Setiap pemimpin ada pengikut masing-masing, nanti akhirnya berlaku pertembungan yang akan merugikan kita. Saya tak nak ada perkara-perkara yang distract kerja-kerja kita,” jelasnya.
Jelas Ismail Sabri, begitu juga ketika parti itu membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), beliau sendiri bersetuju dengan usul terbabit ketika itu.
“Apabila dicadangkan penangguhan (pemilihan parti), saya yang bangun bersetuju supaya ditangguhkan pemilihan. Sebab yang penting bukan soal saya tapi parti. Kalau parti berpecah sebelum pilihan raya kerana ada pemilihan yang akan menyebabkan kita kalah pada PRU15 pun tidak ada maknanya.
“Jadi, bagi saya keutamaan kita berparti ni, parti perlu menang dalam pilihan raya dan memerintah,” tambah Ismail Sabri.
Sebelum ini, media melaporkan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika Ismail Sabri menjadi perdana menteri sekali lagi, beliaulah juga perlu dilantik sebagai Presiden UMNO.
Khairy juga membayangkan kemungkinan terdapat pakatan antara Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beliau sendiri dalam pemilihan UMNO yang akan datang.-MalaysiaGazette