JERANTUT – Seramai 742 pengundi di Felda Lepar Utara 2 berikrar memberi sokongan penuh memenangkan Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Penyandang kerusi berkenaan yang juga calon, Datuk Nazri Ngah berkata, kesemua pengundi itu tinggal di Felda Lepar Utara 2 tetapi mereka mengundi di DUN Pulau Tawar walaupun lokasi kawasan mereka di Parlimen Paya Besar dan bukan Jerantut.
“Selepas pilihan raya, saya berhasrat akan menubuhkan cawangan UMNO di situ kerana ada ramai penyokong serta sekurang-kurangnya mereka ada tempat mengadu.
“Selain itu, sekiranya saya dipilih dan masih memegang portfolio yang sama, Insya Allah saya akan membantu generasi kedua di situ sama ada menyediakan Perumahan Generasi Kedua Felda atau Skim Tanah Rakyat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Nazri, penduduk Felda Lepar Utara 2 mempunyai hubungan kekeluargaan di Gugusan Felda Wilayah Jengka berdekatan dan mereka masih mahu mengundi dalam Parlimen Jerantut dan DUN Pulau Tawar.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, keadaan ini berlaku kerana tali persaudaraan peneroka di situ memang ramai di kawasan Jerantut, Felda berdekatan dan Jengka.
“Seramai 742 pengundi yang menyokong Calon DUN Pulau Tawar menambah kekuatan kepada calon Barisan Nasional ini,” katanya. – MalaysiaGazette