AMPANG – Perpecahan dalaman dan sabotaj calon parti-parti politik utama dek kerana tidak tercalon semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal memberi kelebihan kepada calon Bebas untuk dipilih sebagai wakil rakyat pada 19 November ini.
Calon Bebas Parlimen Ampang, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos mendakwa, rakyat sudah menyampah dengan parti yang hanya sibuk bermain politik hingga lupa tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Keadaan itu memberi kelebihan kepada saya, pengundi sudah menyampah sebab parti politik tidak mampu memperjuangkan hak rakyat, sebaliknya lebih fokus kepada politik itu sendiri berbanding dengan rakyat.
“Keadaan parti politik utama sekarang memang beri kelebihan kepada calon Bebas kerana rakyat sudah pandai memilih calon mana yang boleh berkhidmat kepada mereka sebagai sebenar-benar wakil rakyat.
“Sebagai calon Bebas dan anak jati Ampang, saya masih tinggal di sini, saya memang akan berusaha sepenuh hati, saya takkan sanggup tengok pelbagai permasalahan rakyat berterusan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada PRU15.
Zuraida yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU14, akan mempertahankannya atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen yang mewakili BN, Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).
Selain Muhammad Shafiq, turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan dua lagi calon bebas, iaitu Tan Hua Meng dan M Raveendran.
Dalam pada itu, Muhammad Shafiq memberitahu, masih ramai pengundi 18 tahun ke atas yang ditemuinya sepanjang tempoh berkempen mendapati mereka tidak memahami kewajipan mengundi pada Sabtu ini.
Jelasnya, kegagalan wakil rakyat parti politik yang gagal menjalankan tugas mereka menyebabkan ramai anak muda dan warga emas enggan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini.
“Saya ada dekati remaja dan orang muda, saya kategorikan mereka di bawah 25 tahun yang untuk kali pertama mengundi, mereka sebenarnya tidak faham apa sebenarnya undi ini.
“Mereka merasakan bahawa tidak penting untuk pergi mengundi, bila saya jumpa mereka, saya terangkan begini keadaannya, kamu harus memilih wakil rakyat, dan mereka melihat parti politik memang gagal untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
“Jadi keadaan ini menjadi impak kepada mood mereka untuk keluar mengundi.
“Saya tidak terkejut apabila saya berkempen dan bertemu orang-orang lama 60-an, mereka pun mempunyai pandangan sama, mereka pun tak ada mood untuk keluar mengundi kali ini,” katanya.
Lebih malang apabila pengundi berasa tertipu kerana ada parti politik tertentu yang gagal menunaikan manifesto pilihan raya lalu, ujarnya.
“Semua parti telah diberikan kesempatan untuk menjadi kerajaan, mereka juga mengeluarkan manifesto dan ada sesetengah mengatakan kita manifesto itu bukan satu janji yang patut diikuti dan sebagainya.
“Jadi rakyat rasa mereka ditipu sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette