Kementerian Pengajian Tinggi. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR- Sidang media Deklarasi Profesor Melayu G70 tidak mempunyai kaitan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kementerian itu dalam kenyataannya turut menegaskan, kumpulan terbabit bukan wakil rasmi daripada kakitangan akademik atau profesor institut pengajian tinggi.

Sehubungan itu katanya, apa-apa pendirian yang diutarakan G70 tidak mempunyai hubung kait sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan KPT.

“KPT menghormati hak dan kebebasan bersuara setiap individu dan para akademik.

“Bagaimanapun, bagi yang masih berkhidmat sebagai penjawat awam, setiap tindakan mereka masih tertakluk kepada pematuhan peraturan dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

KPT turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi KPT menerusi saluran yang sahih yang ditadbir oleh kementerian.

Terdahulu, sekumpulan professor Melayu yang menggelarkan mereka sebagai G70 mengadakan sidang media khas bertajuk Seruan Kepada Rakyat Malaysia Bersempena PRU15.

http://https://malaysiagazette.com/2022/11/16/tolak-calon-pernah-khianati-mandat-g70/

Antara intipati sidang media itu adalah meminta pengundi menolak calon-calon yang pernah mengkhianati mandat rakyat dengan melompat parti.

Kumpulan itu juga mengumumkan sokongan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam perkembangan sama, Majlis Profesor Negara (MPN) juga menafikan terlibat dengan G70.

Presidennya, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, MPN mendapati sejumlah besar ahli gerakan itu telah pencen sekali gus tidak boleh lagi menggunakan gelaran profesor kecuali dilantik sebagai Profesor Emeritus ahli kepada pergerakan tertentu.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

 

https://malaysiagazette.com/2022/11/16/mpn-tidak-terlibat-dengan-gerakan-profesor-melayu-g70/

1 Komen

Comments are closed.