Calon Barisan Nasional (BN) P.072 Tapah, Datuk Seri M. Saravanan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Kuala Bot, Tapah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2022.

TAPAH – Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengecewakan para pengundi malah mereka sendiri maklum tentang rekod cemerlang parti itu termasuk parti-parti komponennya.

Calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan yakin BN akan mendapat tempat dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Saya tidak mahu sombong dan cakap besar tentang kemenangan kita.

“Tapi kita yakin akan mendapat sokongan lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini. Saya bercakap tentang penduduk Tapah yang begitu positif bukan sahaja terhadap saya sebaliknya kedua-dua calon BN bagi kerusi DUN ini.

“Setiap kampung yang kita pergi, tidak ada pengundi yang soal kita tentang pembangunan atau mengatakan BN mungkir janji.

“Sebelum ini memang ada pihak yang berjanji sakan tetapi akhirnya tidak tunaikan apa-apa.

“Dengan itu, kita yakin kita boleh menang kerana sokongan dan maklumbalas positif rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, pengundi juga sedar Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah berpecah sehingga bertanding sesama sendiri dalam persaingan tujuh penjuru kali ini.

“Dulu PH, Bersatu semuanya sama. Sekarang sudah berpecah, ada PH, ada PN, Pejuang, Warisan dan lain-lain. Dulu mereka menentang BN.

“Mereka inilah yang menyebabkan juga berlakunya begitu banyak penjuru kali ini. BN tidak begitu, kita masih satu komponen. Saya tidak perlu cakap kerana rakyat sudah tahu menilai,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast