Mohd. Faizal, Aminuddin dan Anwar

THE Lost World of Tambun adalah taman tema keluarga yang amat popular di negeri Perak.

Pelbagai keseronokan bersifat advanture ditawarkan kepada pengunjung dan menyebabkan mereka seolah-olah ‘hilang’ atau ‘sesat’ dalam keriangan yang mengasyikan.

Namun di luar taman tema itu, pertempuran hebat sedang berlaku terutama kepada dua seteru.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentang rakan sekutunya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU15), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Anwar diletakkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai calon di parlimen itu sebagai strategi untuk merampas keseluruhan Perak.

Mereka percaya Anwar akan menjadi faktor utama penduduk Perak untuk memilih PH pada Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) pada 19 November ini, sekali gus menawan negeri itu setelah berjaya kekal di Selangor dan Pulau Pinang.

Lawan Anwar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga bukan calang-calang. Beliau merupakan Timbalan Presiden Bersatu dan bekas Menteri Besar Perak ketika PH berkuasa selama 22 bulan.

Dia juga diangkat menjadi Menteri Besar Perak selama beberapa bulan selepas PH jatuh.

Perang psikologi antara keduanya diterjemahkan dalam bentuk poster gergasi.

Anwar meletakkan potretnya di tepi lebuh raya utama dan betul-betul di plaza tol masuk ke Ipoh. Memakai suit lengkap sambil tersenyum seolah-olah berkata, ‘Saya adalah Perdana Menteri ke-10 anda’.

Sebuah poster lagi tertulis ‘Dari Tambun Untuk Malaysia’ juga dengan wajah keriangan Anwar bak berada dalam taman permainan Lost World of Tambun.

Poster gergasi calon Pakatan Harapan (PH) P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang di letakkan di laluan Gugusan Manjoi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Perak. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2022.

Poster gergasi memaparkan wajah Anwar setinggi bangunan dua tingkat juga dipasang di beberapa tempat.

Ada yang berpendapat walaupun Anwar popular namun dia bukan anak tempatan dan sesuatu perlu dilakukan seperti menempatkan poster gergasi supaya penduduk berasa rapat dengan beliau.

Ahmad Faizal tidak kurang hebat. Dia memasang poster ‘Never Lost in Tambun’; ‘Ayor bukan ayaq’ dan ‘Size does not matter’.

Namun poster-poster yang dipasang tidak cukup gah untuk menandingi poster Anwar.

Pun begitu tidak dinafikan beliau amat popular dan disukai oleh rakyat Tambun. Ramai yang ditemui berkata, mereka mahu memangkah Peja.

Dalam pertempuran kedua-duanya, calon Barisan Nasional Datuk Aminuddin Md Hanafiah adalah yang paling ‘cool’. Sejak dari awal Hanafiah berkata, dia adalah calon ‘underdog’.

Pun begitu tanpa poster gergasi dia juga dikenali dalam kalangan rakyat.

Pernah mengikuti beliau berkempen di beberapa tempat di Chemor nampaknya Ketua UMNO Bahagian Tambun itu amat mesra dengan penduduk tempatan tanpa mengira kaum.

Ramai yang mengakui pasukan beliau termasuk calon Dewan Undangan Negeri Majoi, Datuk Azizul Kama Abd. Aziz dan calon DUN Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman meneruskan kerja kemasyarakatan walaupun BN tewas pada PRU14.

Mungkin kerana itu pasukan beliau turut menjadi pilihan rakyat di Tambun.

Parlimen Tambun mempunyai 155,802 pengundi berdaftar iaitu paling ramai di Perak dengan 37 daerah mengundi.

Berdasarkan tinjuan MalaysiaGazette, ketiga-tiga mereka boleh dikatakan mendapat sokongan yang seimbang dalam kalangan Melayu iaitu 67 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Persaingan adalah merebut undi kira-kira 20% masyarakat Cina dan 11% masyarakat India.

Kumpulan ini kebanyakan berada di daerah mengundi Pekan Chemor, Chemor Indah, Kanthan, Kuala Kuang, Klebang, Tanah Hitam, Changkat Kinding, Tanjung Rambutan Utara dan Jalan Tambun.

Adakah Anwar mendapat tempat dihati rakyat Tambun? Bolehkan Peja mempertahankan parlimen ini? Adakah Aminuddin akan menjadi ‘giant killer’ terhadap kedua-dua gergasi ini?

Siapa menang, siapa lost di Tambun akan terjawab pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast