Isham Jall menunjukkan gambar-gambar sebagai bukti aktiviti menarah berlaku di hutan simpan kekal Bukit Cerakah pada sidang media di Shah Alam.

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Shah Alam bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACFS) mendesak kerajaan Selangor menghentikan aktiviti menarah hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah hingga gondol.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Isham Jalil menegaskan, perbuatan itu menyebabkan alam sekitar di bandar raya berkenaan terjejas teruk sehingga mengundang bencana alam seperti banjir.

“Saya didatangi beberapa NGO ini yang mengadu masalah penggondolan bukit dan hutan di Hutan Simpan Bukit Cerakah secara berleluasa walaupun kawasan itu telah dinyahwartakan.

“Tanah ini dikatakan telah dianugerahkan kepada beberapa syarikat pemaju untuk dimajukan sehingga berlaku aktiviti tebang tebas, penarahan dan penggondolan tidak terkawal kawasan ini.

Ini suatu yang sangat tidak baik terutama kepada alam sekitar dan penduduk dalam bandaraya Shah Alam ini, terutama masyarakat Orang Asli,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Isham, walaupun nyahwarta kawasan hutan itu diluluskan pada zaman kerajaan BN pada tahun 2000, tetapi tanah itu tidak diserahkan kepada pemaju.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Selangor dari BN, mereka menyerahkan kawasan yang dinyahwartakan itu kepada syarikat pemaju.

“Syarikat pemaju pula menarah bukit itu dan macam-macam berlaku sehingga kita lihat alam sekitar di Shah Alam sekarang jauh lebih teruk berbanding 50 tahun lalu yang dijaga dengan cukup baik oleh kerajaan BN.

“Tengok saja apa berlaku di kawasan ini, hujan saja sudah berlaku banjir kilat. Jadi, saya dan NGO ini mahu kerajaan PH Selangor menghentikan aktiviti itu. Jangan gondolkan.

“Takkan semua bukit di Shah Alam ini nak ditarahnya, apa akan jadi kepada alam sekitar di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast