Keadaan banjir di Kampung Bangi Tambahan, Bangi Lama dengan beberapa kenderaan ditenggelami air ketika tinjauan MalaysiaGazette hari ini.

BANGI – Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan penduduk di Jalan KB8 Kampung Bangi Tambahan, Bangi Lama terpaksa menghadap kejadian berulang untuk kali ketiga dalam tempoh setahun selepas ditenggelami air hingga ke paras pinggang.

Wakil penduduk yang telah menetap selama 25 tahun, Dzul Hamizam Ramli berkata, kejadian yang bermula jam 3.30 pagi itu berlaku sangat pantas apabila air naik dalam masa kurang setengah jam.

“Dari malam sehingga awal pagi tadi memang hujan, pagi tadi hujan makin lebat. Saya rasa dalam 20 minit air sudah naik sampai ke paras lutut dan hujan berlarutan sampai air naik hingga kereta pun tenggelam,” kata lelaki berusia 47 tahun itu kepada MalaysiaGazette.

Dzul Hamizam Ramli

Menurut bapa kepada dua orang anak itu, banjir kilat kali ini sudah menjadi kebiasaan apabila berlaku limpahan air Sungai Semenyih dan Sungai Beranang yang gagal menampung jumlah air yang banyak.

“Saya harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) boleh selesaikan isu berulang ini dengan memperdalam sungai di kawasan sekitar yang menjadi punca. Kami juga sudah lama beri cadangan untuk tinggikan ban agar air tidak melimpah,” ujarnya.

Seorang lagi wakil penduduk yang telah menetap di sini sejak 1997, Kamaru Zaman Azis, 62, pula meluahkan kekesalan selepas pihak bertanggungjawab kerap menangguhkan projek tebatan banjir.

Kamaru Zaman Azis

“Saya dapat tahu kerajaan negeri sudah lulus jajaran semula Sungai Semenyih dan Sungai Bangi sebanyak RM7.5 juta. Sepatutnya dilaksana Ogos lalu tapi projek tetap belum berjalan. Dengarnya jangkaan pada Februari tahun depan pula,” ulasnya.

Penduduk yang ingin dikenali sebagai Pak Uda, 63, memaklumkan, projek pembangunan perumahan yang pesat di Semenyih menjadi faktor penyumbang banjir kerana saluran air dibina pihak pemaju tidak teratur.

Pak Uda

Difahamkan, hampir 78 keluarga yang terjejas di sekitar Jalan KB8 tersebut dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Balai Raya Pekan Bangi Lama dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor memberitahu, jumlah mangsa  yang ditempatkan di dua PPS berkenaan masih dalam bancian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast