Calon Barisan Nasional (BN) P.073 Pasir Salak, Khairul Azwan Harun (tengah) bersama calon Barisan Nasional (BN) N.50 Kampong Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin (kanan) dan calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Manik, Datuk Ibrahim Katop (kiri) menunjukkan lampiran Manifesto Aspirasi Pasir Salak selepas Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Parlimen Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Gajah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2022.

PASIR SALAK – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Salak serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya bertekad mahu mengubah landskap dan aktiviti ekonomi kawasan itu sebagai ibu kota pertanian negara.

Dokumen yang dinamakan Aspirasi Pasir Salak: Ibu Kota Pertanian Masa Depan dilancarkan malam tadi oleh calon Parlimen Khairul Azwan Harun, calon DUN Sungai Manik Datuk Ibrahim Katop dan DUN Kampong Gajah Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

Manifesto tersebut berdasarkan lima teras iaitu Pasir Salak Makmur bagi membina ekonomi tempatan, Pasir Salak Mahir bagi memartabatkan modal insan tempatan dan Pasir Salak Perkasa bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan infrasturktur dan kemudahan asas.

Dua lagi teras adalah Pasir Salak Mampan bagi mengekalkan kelestarian sumber asli dan memelihara alam sekitar dan Pasir Salak Sejahtera bagi mengukuhkan kesentosaan sosial dan warisan bangsa.

Penyokong yang membaca Manifesto Barisan Nasional Parlimen Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Gajah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2022.

“Ini komitmen yang rakyat tunggu-tunggu sekian lama. Bila bercakap soal tawaran mesti didokumenkan. Ia bukan ditabur. Bukan seperti manifesto janji PH masa PRU dulu.

“Ini azam dan tekad. Bermakna cita-cita nak buat. Perlu pelbagai langkah dan perancangan.

“Pengundi mahu lihat bagaimana kami boleh sepakat dan berpadu. Maka ini adalah buktinya. Bukan bekerja dalam silo,” kata Khairul Azwan kepada media selepas majlis pelancaran.

Beliau berkata, bentuk geografi menghijau dan aliran sungai yang baik menjadikan Pasir Salak kawasan strategik sebagai ibu kota pertanian negara.

Namun menurutnya, aspirasi itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya ketiga-tiga mereka menang dan kerajaan negeri serta pusat ditadbir oleh BN.

“Jika tanya insya-Allah kalau kami bertiga berjaya, tapi syaratnya BN menjadi kerajaan di negeri dan pusat.

“Tak boleh macam keadaan sebelum ini. Kami BN menang di ketiga-tiga kerusi tapi kami bukan kerajaan negeri dan pusat. Jadi sudah tentu tak mungkin kami laksanakan.

“Jadi syaratnya menang dan kita jadi kerajaan di negeri dan pusat. Baru kita boleh mengarapkan usaha dan sumber untuk menjayakan azam dan tekad ini,” jelas beliau.

Di bawah Pasir Salak Makmur antara yang akan dilaksanakan adalah menyediakan akses kepada teknologi pertaninan, penternakan dan perikanan baharu di bawah Revolusi Industri Keempat.

Mewujudkan hab pengeluaran dan pemrosesan hasil sungai dan air tawar berskala besar, mewujudkan hab pengeluaran dan pemprosesan hasil berasaskan pertanian dan sekuriti makaman.

Aspirasi itu juga mahu memudahkan akses kepada pembiayaan bagi usahawan agrotani tempatan.

Penyokong yang membaca Manifesto Barisan Nasional Parlimen Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Gajah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2022.

Menurut Khairul Anwar antara perkara yang terpenting dalam aspirasi itu azam mereka untuk menjadikan Pasir Salak sebuah daerah bagi memudahkan usaha menjadikan kawasan itu sebagai hab pertanian.

“Sekarang pentabiran DUN Kampong Gajah ini terpaksa bergantung kepada pentabiran daerah Perak Tengah yang berpusat di Seri Iskandar.

“Dan DUN Sungai Manik pula terpaksa bergantung kepada petadbiran Hilir Perak yang berpusat di Teluk Intan.

“Saya rasa dengan cita-cita kami untuk menjadi ibu kota pertanian masa depan kami memerlukan daerah kecil Kompung Gajah ini dinaiktaraf sebagai daerah penuh,” katanya.

Bagi memastikan aspirasi itu dilaksanakan sebagaimana dirancang wakil rakyat terbabit akan menyediakan kad laporan tahap kemajuan pelaksanaannya pada setiap hujung tahun.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast