RAUB – Dua calon parti bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal (BN) dan Tengku Shah Amir Tengku Perang (PN) terpaksa mengenepikan seketika perbezaan politik bagi membantu mangsa banjir di sini hari ini.
Difahamkan Fadzli bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Gali untuk mengagihkan bantuan awal berupa makanan dan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas di situ.
Tengku Shah Amir juga turut melakukan perkara sama dan membantu menyediakan kenderaan bagi urusan perpindahan mangsa ke PPS.
Banjir berlaku ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi di mana beberapa kawasan di Dong dekat sini telah dinaiki air dan ramai keluarga yang terjejas terpaksa berpindah ke tempat lain.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara Banjir (PPS) di sekitar Dong telah dibuka sehingga pukul 12 tengah hari ini melibatkan PPS Kampung Tersang, PPS Kampung Pia dan PPS KEMAS Gali Tengah.
Pihak bomba juga memaklumkan beberapa kawasan lain juga semakin dinaiki air ekoran keadaan cuaca menunjukkan tanda-tanda akan hujan semula sepanjang hari ini.
Gambar sumber : Tengku Shah Amir
Setakat ini, hanya beberapa kawasan di Dong yang dilaporkan mula dinaiki air di Pahang, manakala paras air di kawasan-kawasan panas banjir lain masih dalam keadaan terkawal.
Perdana Menteri dalam kenyataannya tengah hari ini mahu kerajaan negeri dan semua agensi terlibat untuk sentiasa dalam keadaan waspada dan bersedia untuk sebarang kejadian banjir.-MalaysiaGazette