Dr. Asmah (bertopi) bersama masyarakat India di Kampung Sentosa, Lembah Pantai.

KUALA LUMPUR – Calon Pejuang bagi Parlimen Lembah Pantai, Dr. Asmah Razalli berjanji akan membawa masuk pelabur asing ke kawasan itu untuk sama-sama dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Kata beliau, dengan adanya pelabur pembangunan di Lembah Pantai dapat dirancakkan lagi dengan lebih teratur dan sistematik.

“Dengan ini, kita dapat mengurangkan beban rakyat di sini yang hidup dalam serba kekurangan apabila mereka mendapat pekerjaan menerusi peluang yang disediakan oleh pelabur.

“Ini adalah antara perancangan dan agenda sejak sekian lama, untuk melihat penduduk di sini menjalani kehidupan dengan lebih sempurna,” katanya kepada Malaysia Gazette selepas program bersama masyarakat India dan Cina di sini, hari ini.

Dr. Asmah diterima baik oleh kaum Sikh di Lembah Pantai dalam kempen PRU yang berbaki dua hari lagi.

Menurut Dr. Asmah, kehadirannya diterima baik oleh kaum Cina, India dan Sikh terutama di Kampung Sentosa.

Katanya, beliau mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum dengan tumpuannya kepada golongan yang memerlukan.

“Saya tidak berminat dengan politik perkauman. Apa yang penting kebajikan golongan B40 serta semua kategori dapat mencari rezeki di bumi Lembah Pantai.

“Saya tidak mahu ada yang tidak makan kerana miskin,” katanya.

Masyarakat Cina di Lembah Pantai juga tertunggu-tunggu kunjungan Dr. Asmah, calon Pejuang.

Antara misi dan visi Dr. Asmah yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Putra ialah tiada anak Lembah Pantai tercicir dalam pendidikan, tiada warga Lembah Pantai tidak makan, malah semua golongan mampu menyara hidup dengan kos sara hidup yang membebankan.

Beliau juga merencanakan untuk mendapatkan fasiliti perkhidmatan kesihatan terbaik kepada warga Lembah Pantai, selain memastikan Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, penjaja, belia, pemandu teksi, penghantar makanan dapat diberi perhatian dengan kewujudan pejabat Parlimen.

Di samping itu, katanya, beliau juga merancang untuk mewujudkan pusat asuhan awal kanak-kanak mampu hantar supaya ibu bapa dapat menyara kehidupan dan bekerja. – MalaysiaGazette