JERANTUT – Gabungan Wawasan Generasi Felda ( GWGF) yakin 50 tanah rancangan Felda yang berada di dalam 54 Parlimen bakal dimenangi Barisan Nasional (BN).
Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail yakin berdasarkan sambutan terhadap calon BN semakin meningkat malah majoriti warga Felda yang menolak gabungan parti itu semasa PRU14 telah membuat pusingan U menyokong BN.
“Satu ketika dulu Felda adalah deposit tetap UMNO dan BN hanya menang 27 kerusi Parlimen, pada kali ini (PRU15 ) sokongan padu mula berpihak kepada BN.
“Saya turun padang ke seluruh rancangan Felda seluruh negara jelas trend sokongan terhadap calon BNperingkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) meningkat hasil kempen berfakta tanpa janji dan harapan mengunung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kelab Permotoran Strorm Rider Junior Peringkat Negeri Pahang di Felda Jengka 12 hari ini.
Turut hadir calon BN Parlimen Jerantut Datuk Zukarmi Abu Bakar dan calon BN Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.
Menurut Rozali, warga Felda yang terdiri generasi pertama, kedua dan ketiga termasuk pengundi baharu perlu memberi undi kepada calon BN.
“Sasaran kita supaya BN mendapat jumlah kerusi yang selesa dan dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa gabungan dengan parti lain.
“Apabila kerajaan baru dibentuk dan BN dominan akan memudahkan semua agenda pembangunan yang dirangka membela masyarakat Felda di seluruh negara,” katanya lagi.
Menurutnya, GWGF mengambil ketetapan tegas dan jelas menyokong BN dalam PRU15 setelah mengambil kira rekod kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang banyak menyusahkan rakyat dan masyarakat peneroka Felda.
“Warga Felda jangan mudah melupakan BN yang banyak berjasa dari dulu dan kini hanya kerana satu dua isu yang dibangkit individu yang memfitnah,” katanya.
Presiden GWGF itu merayu lebih 135,000 ahli berdaftar dari 317 rancangan sebelas wilayah mengundi calon BN sekali gus menyumbang pembentukan kerajaan yang kukuh dan kuat.
Tegasnya, sokongan tidak berbelah bahagi terhadap BN dan UMNO juga mengambil kira faktor dan rekod prestasi parti disamping pencapaian yang telah dilaksanakan dari dulu hingga kini.
Beliau berkata, UMNO dan BN terus menerus menjaga kepentingan peneroka dan generasi baharu semasa menjadi kerajaan atau di bawah kerajaan PH selama 22 bulan.
“Janganlah lupa jasa dan pengorbanan pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan yang telah mewujudkan Felda dan mengangkat martabat warganya setanding dengan masyarakat moden negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette